Sunday 15 March 2009

Sesetengah orang, tidak suka menerima perubahan... Tidak kiralah perubahan itu membawa kebaikan kepada diri mereka... Apa yang mereka fikirkan, perubahan yang berlaku telah menyusahkan perjalanan kehidupan seharian mereka...

Persoalannya, adakah kita harus menilai sesuatu perubahan itu dari aspek yang negatif?... Adakah semua perubahan itu memudaratkan dan sentiasa menyusahkan kita???

Aku sebenarnya kurang bersetuju dengan pendapat ini... Bagi aku, sebagai seorang insan dan manusia yang duduk diatas mukabumi Allah yang maha luas ini, kita perlu menerima perubahan yang melanda di sekeliling kita... Aku akui, ada juga perubahan yang berlaku itu membawa kepada keburukan dan kita sebagai seorang manusia yang mempunyai akal fikiran boleh menilai perubahan yang mana satu perlu kita terima dan yang mana satu perlu kita tolak... Di samping itu, ketika kita membuat penilaian, kita seharusnya berfikiran positif dan melihat semua aspek serta sudut sebelum membuat keputusan...

Photobucket
Laman utama Facebook yang baru...

Baru-baru ini, aku dapat lihat perubahan yang telah dilakukan oleh Facebook, satu portal yang aku gunakan untuk berinteraksi bersama rakan-rakan aku... Facebook telahpun mengemaskini laman utamanya (homepage) di mana aku dapat lihat perubahan ketara dari segi kosmetik laman utama portal ini... Segala fungsi menu telah dikemaskini dan dialihkan ketempat yang dikhaskan; begitu juga dengan bahagian interaktifnya (newsfeeds)... Secara jujur, aku sungguh kagum dengan kesungguhan pengelola (admin) laman ini yang berusaha untuk meningkatkan dan menaiktaraf portal interaktif ini... Tahniah dan syabas kepada mereka semua!...

Dalam masa yang sama, aku juga dapat lihat pelbagai komen yang dilemparkan pengguna Facebook yang mana adakalanya bagi aku sedikit ekstrem... Biasalah, ada yang suka, ada yang tidak... Ada tu, siap mengomel dan komplen kata laman ini sungguh mengelirukan selepas dikemaskini... Aku semak semula laman ini dan aku amati betul-betul... Sedikit pun aku tidak rasa keliru dengan perubahan yang dibuat... Semua fungsi yang sebelum ini ada, masih lagi dikekalkan cuma keadaannya agak sedikit berbeza kerana susun letak telahpun dikemaskini... Jadi, apa lagi masalahnya???... Bagi aku, selagi fungsi yang aku gunakan sebelum ini masih lagi ada, tidak salah kiranya pengelola membuat perubahan dari segi susun letak laman utama ini, kan?...

Apa sahaja yang berlaku dalam Facebook adalah ditentukan oleh pengelola... Dan aku amat yakin setiap perubahan yang dilakukan adalah untuk kebaikan bersama... Setiap ciri-ciri yang diubah itu pasti ada sebabnya dan kita sebagai pengguna seharusnya rasa lega kerana mereka masih mampu untuk mengemaskini laman utama ini untuk kemudahan kita... Bukanlah aku kata kita tidak boleh komplen atau bersuara, tetapi sebelum kita berkata sesuatu, kita seharusnya berfikir terlebih dahulu dan menilai sedalam-dalamnya... Jika ianya menyusahkan, pasti kita tidak dapat menggunakan Facebook 100%; mungkin juga ramai yang akan menutup akaun dan beralih ke portal yang lain seperti Twitter dan sebagainya... Aku lihat, ramai yang mampu chat malah sebahagian besar masih boleh mengemaskini status masing-masing di dalam profil mereka... Itu tandanya perubahan yang berlaku tidak menjejaskan apa-apa...

Biasalah, bila ada benda yang baru, orang akan terkial-kial untuk mempelajarinya... Itu standard... Ambil lah masa untuk mengetahui dan mempelajari semua ini... Perlu di ingat, tidak semua perubahan itu menyusahkan dan kita seharusnya berfikiran positif bila berhadapan dengan pembaharuan yang berlaku ini... Sekurang-kurangnya, pengelola masih lagi kreatif dan prihatin kepentingan pengguna seperti kita ini...


Nota kaki:-
Aku rasa laman utama Facebook ini agak menarik, ringkas, tidak mengelirukan dan OK... Tidak tahulah kalau pada pengguna yang lain ianya adalah sebaliknya... Aku boleh menerima perubahan ini dan bagi aku, semua ini adalah untuk kebaikan dan kepentingan bersama...

Entry ini bukan bertujuan untuk menghentam sesiapa tetapi sekadar renungan yang aku ingin kongsi bersama pembaca yang lain... Mungkin juga anda adalah pengguna Facebook... Harap maaf jika ada yang tersinggung dengan gaya penulisanku ini...

Tuesday 3 March 2009

Tidak semua mempunyai bakat dalam bidang seni... Tidak ramai boleh menyanyi atau menari... Tetapi itu tidak bermakna seseorang itu tidak mampu untuk melontarkan suara atau melenggokkan badan mengikui irama muzik yang didendangkan...

Tinggal beberapa hari sahaja lagi cabaran itu akan bermula... Tugasan telah diberikan minggu lepas dan terpulang kepada peserta untuk bekerja di dalam kumpulan bagi menyiapkan 'assignment' yang telah diserahkan... Tiada kompromi, tiada toleransi... Apa yang telah diberikan, harus dilakukan dan disiapkan...

Dalam masa beberapa hari lagi, aku akan berangkat ke A'Famosa untuk sesi "team outing" bersama rakan-rakan yang lain... Kira macam 'team building' jugalah bagi menyiapkan diri menghadapi projek yang telah dirancangkan oleh pihak syarikat... Projek IT yang memang akan memeningkan kepala dan sering membuatkan kita tension akan menduga tahap kesabaran yang ada dalam diri... Apa jua situasi harus ditangani secara professional agar ianya tidak menjadi lebih rumit...

Seronok memang seronok, tetapi setiap waktu disana nanti akan diisi dengan pelbagai program... Dan setiap satu program akan memberikan pengajaran dan manfaat yang bakal digunakan ketika aku menghadapi cabaran ketika menguruskan projek nanti... Pada mulanya, aku ingatkan aku dapat berehat dan bersantai bila berada disana, tetapi kena buat kerja pula... Jadi, peluang untuk bersuka ria ala sendiri-sendiri memang tidak ada... Tak apalah, mereka dah pilih aku dan aku dapat pergi pun sudah cukup bertuah... Bukan semua dapat peluang sebegini; semuanya ditanggung percuma...

Tugasan yang diberikan minggu lepas merupakan persembahan berkumpulan... Aku dan rakan-rakan dikehendaki menari lagu dangdut... Haa nah kau!... Dangdut!!!... Mahu atau tidak, kenalah juga buat... Selepas waktu kerja tadi, aku dan rakan-rakan sempat berkumpul membincangkan mengenai tugasan ini dan perancangan kami untuk persembahan berkumpulan... Sesi latihan juga dimulakan dengan kerjasama semua... Seperti yang aku katakan tadi, tidak semua antara kami boleh menari tetapi kami menganggap bahawa itu bukan satu halangan dan kami akan mencuba sebaik mungkin menyiapkan tugasan yang diberikan...

Memang lucu bila lihat rakan-rakan yang lain menari apatah lagi menari dangdut... Jangan cakap mereka, bila aku lihat diri aku sendiri pun, aku nak tergelak... Lawak betul... Tetapi sifat malu itu berkurangan kerana ketika tiba masanya nanti bukan aku dan rakan sekumpulan sahaja yang kelihatan seperti badut di atas pentas, malah yang lain-lain pun sama... Jadi, tiada apa yang perlu dimalukan dan aku menganggap ianya sebagai satu cabaran dan sekadar suka-suka bersama rakan-rakan...

Bagaimana lah nanti suasana bila tiba masanya... Pasti gamat dengan pelbagai aksi dan gelak tawa dari mereka yang hadir dan membuat persembahan... Aku harap, tiada rakaman yang dibuat... Heheheheeeee....

Monday 2 March 2009

Haaa...

Dah lama aku tak tulis mengenai petua-petua yang bagus dan berguna buat kalian semua... Ada di antara petua ni, memang telah diguna pakai sejak sekian lama dan ada juga yang dihasilkan dari ujikaji orang zaman sekarang...

Kali ini, aku ingin berkongsi satu petua bagaimana hendak mencuci mesin pengisar (blender) supaya bersih... Bagi orang yang sudah biasa ke dapur, blender merupakan satu peralatan yang kerap kali digunakan... Lepas tu, kita tau kalau nak cuci blender tu, punyalah payah!... Maklumlah, dekat bahagian bawah tu sempit sebab ada bilah pisau pengisar dan selalu sisa kisaran tersangkut di celah-celah bilah pisau itu... Agak mustahil juga untuk kita membersihkan bahagian tersebut dengan menggunakan tangan kita... Silap haribulan, jari boleh terluka!...

Aku dapat petua ini dari kawan aku melalui kiriman e-mel... Mari kita semak petua menarik ini...


Cara-cara: -
  1. Masukkan sedikit air dan sedikit bahan pencuci ke dalam blender/mixer
  2. Ambil kulit telur dan masukkan sekali ke dalam blender/mixer tersebut
  3. "ON" kan blender/mixer anda tu sehingga beberapa ketika
Lihatlah hasilnya.

Kulit telur yang anda masukkan ke dalam blender/mixer tersebut akan hancur setelah anda "ON" blender/mixer tersebut. Kulit telur yang telah hancur itu sebenarnya berperanan sebagai "pemberus" bagi mencuci blender anda.

Selain blender/mixer, petua ini juga boleh digunakan untuk membasuh bekas minuman/botol air/kole air yang sukar untuk dibasuh.


Caranya ialah:

  1. Masukkan sedikit air dan sedikit bahan pencuci ke dalam bekas minuman/kole air
  2. Masukkan kulit telur yang telah dihancurkan
  3. Goncangkan bekas minuman/botol air/kole air sehingga kotoran hilang

Mudahkan petua ini?
Cubalah!

Sunday 1 March 2009

Memang payah untuk mengelak dari berbelanja... Apatah lagi kalau ianya harus dilakukan dan kita tiada pilihan yang lain... Setiap barang yang kita miliki ada kosnya... Kos sama ada untuk mendapatkannya atau kos untuk menjaga barang tersebut supaya tahan lama...

Contoh yang paling senang; kereta... Semalam, aku telah menghantar keretaku untuk di servis di pusat servis kereta yang terletak tidak jauh dari rumah aku... Kalau nak jalan kaki pun, boleh... Tapi aku kena bawa kereta aku sebab kereta aku yang perlu di servis... Kalau tak bawa kereta, apa gunanya aku pergi pusat servis tu kan?...

Seperti biasa, rutin pertama ialah memeriksa apa yang rosak dan apa yang perlu ditukar/diganti... Aku memang tidak pernah gagal untuk memastikan kereta aku di servis mengikut jadual... Maklumlah, nak dapat sebiji kereta bukan senang!... Bila dah dapat, kenalah jaga betul-betul dan diservis supaya boleh bertahan lama... Alhamdulillah, ini adalah tahun ke-6 aku menggunakan kereta yang sama... Lama, kan???...

Orang lain selalu cakap dengan aku, "Tak nak tukar kereta ke??... Kereta tu kan dah lama, apa kata kalau tolak dan ambil model/jenama baru???..."

Ho hoo... Bukan senang aku nak tukar barang-barang lebih-lebih lagi jika barang tersebut aku dapatkan dengan hasil dan duit sendiri... Dulu, aku bergolok bergadai dan banyak berhabis untuk kereta kesayanganku ini... Biarpun ianya model tempatan, aku tetap menyukai dan menyayanginya seperti menyayangi diri sendiri... Aku jaga betul-betul, cuci dan bersihkan dan hantar servis untuk memastikan 'condition' nya sentiasa baik... Aku memang tidak bercadang untuk menukar ganti keretaku ini dan akan memakainya sampai bila-bila... Tahun ni merupakan tahun terakhir aku membayar hutang keretaku ini (pinjaman aku selama 7 tahun) dan aku benar-benar gembira kerana tidak lama lagi, aku akan menerima hak milik mutlak keretaku ini...

Setakat ini, keretaku tidak pernah menyusahkan aku dan seringkali menemani dan membawaku kesana kemari... Biarpun ciri-ciri moden tiada pada keretaku ini; tiada 'ABS', tiada 'SRS Airbag', tiada 'auto fold wing mirror', transmisi manual dan sebagainya, aku tetap selesa dan gembira dengan keretaku ini... Kalau sesetengah orang, bila tengok je model kereta baru keluar di pasaran, mulalah tergedik-gedik nak tukar kereta baru... Ada tu, kereta yang dipakai tidak sampai setahun, dah nak tukar... Bagi aku, aku biasa je sebab apa yang aku ada sudah cukup dan memadai... Kalau aku berkenan dan nak sangat pun, aku akan beli lagi satu dan bukan jual kereta yang sedia ada ini... Keretaku ini banyak menyimpan kenangan yang sukar untuk aku lupakan!... Heheheeeee...

Eh, aku pi cerita pasal kereta aku pulak, padahal ada benda lain yang aku nak cerita... Berbalik pada kisah servis kereta tadi, selalunya aku akan berbelanja beberapa ratus ringgit untuk tujuan ini... Paling mahal cas yang dikenakan ialah sebanyak RM300... Tetapi semalam, cas yang dikenakan agak pelik sedikit; mahal berbanding sebelum ini... Tokei kedai tu cas aku sampai RM400 untuk servis kecil/pelinciran... Aku pun tercengang, mak aii... punya la mahal!...

Aku tanyalah balik tokei kedai tu, "Ini berapa lu kasik cas???... Manyak mahal wooo..."

Tokei tu pun selaklah kertas dan rekod yang ada didepan mata, lantas dia membalas, "Itu saya sudah kasi bikin, sudah kasi lu diskaun... Ini halaga sudah kasi lu mulah..."

Aku garu kepala, cuba memahami apakah cas yang dikenakan kepadaku... Aku bertanya pada tokei kedai tu, ini apa, itu apa... Satu persatu aku bertanya... Ternyata, memang banyak benda yang telah rosak dan perlu ditukar... Aku pula, tiada pilihan waktu itu melainkan untuk terpaksa setuju dengan cas bayaran yang aku rasakan agak mahal itu... Kalau ikutkan hati, hendak sahaja aku pergi ke bengkel kereta biasa untuk servis tetapi aku tidak pernah hantar kereta aku kemana-mana bengkel sebelum ini... Aku pun tiada kenalan yang bekerja di bengkel untuk aku rujuk... Kalau ada, boleh aku minta tolong mereka... Biasanya, cas servis di bengkel tidaklah sampai mencecah RM300 - RM400!...

Hakikatnya, semua ini ada kos yang perlu kita fikirkan... Kalau tidak mahu menanggung, jangan guna barang-barang seperti ini... Tetapi itu agak mustahil kerana kita memerlukan kenderaan untuk bergerak kesana kemari... Walaupun terdapat perkhidmatan awam seperti bas, tren dan sebagainya, tidak semua pengangkutan itu dapat memberikan perkhidmatan kepada kita bila kita benar-benar memerlukannya...

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.