Friday 17 April 2009

"Kesian...."

Itu yang boleh aku katakan... Aku cukup simpati dan kesian bila melihat dan mengenangkan keadaan seorang daripada ahli keluarga aku... Dia merupakan pakcikku; "Pak Long" kalau mengikut pangkat; merupakan seorang duda tua yang berusia 71 tahun... Dia yang kematian isteri beberapa tahun yang lalu tinggal bersama anak bongsunya... Keadaannya tidaklah seteruk orang lain, kehidupannya masih lagi terurus kerana masih mempunyai anak yang sudi menjaga dan menguruskan kehidupannya...

Apa yang membuatkan aku berasa simpati dengannya ialah perasaan yang melanda dirinya... Biasalah, bila usia sudah lanjut dan ditambah pula tiada teman, aku yakin dia kesunyian... Hendak harapkan anak-anak, masing-masing dah besar panjang dan mempunyai keluarga sendiri... Jadi, hari tua yang dilalui saban hari hanya bersendirian tanpa teman di sisi... Aku faham keadaan itu dan sememangnya ramai ibu bapa yang berada di luar sana mengalami keadaan dan situasi yang sama... Di tambah pula dengan zaman sekarang di mana ramai muda mudi tidak lagi mempedulikan ibu bapa mereka dan ada juga yang sanggup 'membuang' mereka jauh-jauh (hantar ke pusat jagaan orang tua)... Sedih kan??...

Pak Long ku merupakan seorang yang rajin dan ramah... Di zaman mudanya, dia cukup ligat kesana dan kemari... Jikalau tiada kerja, pasti dia akan mengisi masanya dengan aktiviti berfaedah seperti berkebun dan mengemas halaman rumah... Dulu, masa dia tinggal bersebelahan rumahku, halaman rumahnya sentiasa bersih dan kemas... Tidak pernah pun aku lihat rimbunan rumput rampai hidup di halaman rumahnya... Pasti rumput-rumput itu dicabutnya... Tetapi, semenjak dia berpindah ke rumah anak bongsunya, keadaan rumahnya disini sudah tidak terurus dan terbiar walaupun ianya didiami oleh anak sulungnya... Kalau kalian tengok, kalian pun seram tengok keadaan rumahnya ini...

Sejak arwah Mak Long ku pulang ke rahmatullah, keadaan Pak Long ku agak sedikit berlainan... Aku tahu dia bersedih kerana pemergian isteri tercinta... Dahulu, semasa hayat Mak Longku, keadaan mereka sekeluarga sentiasa terurus... Mak Long sentiasa memastikan makan minum Pak Long terjaga... Aku masih ingat lagi, Mak Long seorang yang tegas dan garang; sampaikan aku adik beradik pun jadi takut dan segan dengannya... Tetapi segarang-garang dia, dia merupakan seorang yang baik hati dan penyayang... Mak Longku rajin bertandang ke teratak burukku dan menjaga kami adik beradik semasa ibuku dalam pantang... Memang arwah Mak Long cukup rapat dengan ibu berbanding adik beradik abah yang lain... Aku juga suka bermain di dalam rumahnya (masa tu rumah tinggi dan ada tangga dan kolong) terutama selepas pulang dari sekolah... Kalau aku hilang dari rumah tu, memang takde tempat lainlah aku pergi kecuali ke rumah Mak Longku...

Kini, Pak Long bersendirian meniti hari tuanya... Hendak harapkan cucu, mereka tidak pernah ambil peduli... Malah cucunya sendiri tidak sudi untuk melayan datuknya ini... Aku sendiri tak tahu apa silapnya sehingga mereka melayan datuknya (Pak Longku) begini... Padahal, ketika mereka masih kecil dahulu, Pak Longku lah yang bersusah payah menjaga dan memberi mereka makan... Aku masih ingat lagi, dulu ibu bapa mereka ni susah... Kerja pun makan gaji je... Jadi, mereka tinggalkan anak-anak mereka dengan Pak Long dan arwah Mak Longku untuk dijaga... Biasalah, cucu dan darah daging sendiri, takkan tak nak terima pula kan?... Mereka pun jaga sebaik yang mungkin, beri itu dan ini ibarat menatang minyak yang penuh... Bila dah dewasa, macam ini pula balasan mereka kepada datuk mereka... Memang dasar budak tak kenang budi!...

Kesian aku dengan Pak Longku... Aku nak simpati lebih-lebih pun, aku ada ibu dan ayah yang perlu dijaga... Adakalanya, aku cuba untuk mendekati dan melayaninya... Buat dia rasa ada seseorang yang dekat dengannya... Aku rajin bertandang dan melawatnya di rumah... Selalu kami (aku, ayah dan ibu) akan datang menjenguk... Sekejap pun, jadilah... Alhamdulillah, kuranglah sikit sunyinya...

Kalau kalian ada ibu bapa yang macam ni, aku nak pesan... Janganlah lakukan begini pada ibu bapa kita... Walaupun kita dah berumahtangga, tanggungjawab sebagai anak itu tidak pernah putus lebih-lebih lagi bagi yang lelaki... Jagalah mereka sebaik yang mungkin... Ibu dan ayah bukan boleh di cari dan di tukar-ganti... Takde mereka, kita takkan ada di dunia ini...

Tuesday 14 April 2009

Memang tengah 'excited' sekarang ini...

Macam-macam idea datang... Kadang-kadang, sampai tak tahu nak pilih yang mana satu... Yang macam ini ok, yang macam itu pun ok juga... Kalau pilih semua, jadi serabut pula... Jadi, keputusan perlu dicapai sebelum apa-apa hal...

Aku cuba untuk gambarkan imej yang ada dengan bentuk rumahku; sesuai ataupun tidak... Setakat ini, cuma konsep moden atau moden kotemporari menjadi pilihan... Teringin juga memiliki ruang yang ringkas dan tidak serabut... Minggu lepas, sempat bertandang ke rumah jiran yang terletak selang beberapa unit dengan rumahku... Pemiliknya juga mengutamakan keselesaan ruang dengan sentuhan warna putih dan moden... Cukup menarik bila kerja-kerja mengubahsuai selesai... Aku sendiri pun jadi seronok bila melihatnya...

Rasanya, aku tidak akan mengambil masa yang lama... Bila konsep sudah dikenal pasti, segala kerja-kerja akan dimulakan... Buat masa ini, peringkat pertama telahpun selesai dan tiba masanya untuk melakar dan menentukan apa yang patut ada bagi setiap ruang dan sudut didalam rumahku... Selepas itu, aku akan buat kira-kira dan siapkan bajet sebelum kerja-kerja utama mengubahsuai dijalankan... Insya Allah...

Bila melihat jiran-jiran sebelah rumah berlumba-lumba mengubahsuai rumah masing-masing, aku jadi tidak senang duduk pula... Kebanyakkan mereka telah selesai dan sudah mula berpindah masuk... Tak apalah, aku tidak mahu terburu-buru dan betul-betul nak buat... Kalau 'rushing' nanti, entah apa-apa pula jadinya... Duit pasti akan banyak mengalir keluar...


Antara imej yang aku perolehi dan memberikan aku idea macam mana/apa yang perlu aku lakukan: -

Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Monday 13 April 2009

Salam kembali...

Hari ini, aku rasa kosong... Seperti tiada apa yang berlaku dalam kehidupanku... Aku bangun dari tidur, bersiap menjalani rutin harianku; apa lagi kalau bukan ke tempat kerja... Penjawat swasta yang bergaji ala kadar seperti aku ini memang tiada pilihan melainkan menunaikan tanggungjawab di pejabat... Dari seawal jam 8.00 pagi sehingga 7.00 malam, tugasku tidak pernah habis... Adakala terbit rasa bosan didalam diri... "Sampai bilakah aku harus begini?..."

Hari demi hari, aku rasakan keseronokkan yang dahulu ada hampir hilang... Aku cuba untuk mencari ketenangan dalam diri tetapi makin aku cuba, makin teruk pula jadinya... Seolah-olah ada yang tidak kena... Puas aku cuba untuk menumpukan perhatian sepenuhnya pada kerja-kerja yang perlu aku lakukan tetapi gagal... Fikiran melayang, otak jadi buntu sehingga aku tidak dapat memikirkan apa yang seharusnya aku lakukan... Nasib baik tiada keputusan penting yang perlu aku buat... Kalau tidak, memang parah la jadinya... Tunggang terbaliklah jawabnya...

Jarang sekali aku begini malah memang aku tidak pernah jadi begini pun sebelum ini... Aku rasa pelik, mengapa sekarang aku merasai dan mengalami semua ini?... Adakah ini tanda-tanda aku akan menghadapi masalah di masa hadapan?... Aku akui, memang semenjak kebelakangan ini banyak tekanan yang aku terima; dari segi kerja dan sebagainya... Tetapi, aku tidak merasakan bahawa ianya membebankan aku sehingga dapat mengubah kelancaran perjalanan kehidupanku seharian...

Aku perlu bersendirian... Aku perlu mencongak dan mengamati susur galur kehidupanku selama ini; apa yang kurang dan tidak kena sehingga ianya merubah diriku yang sebenar... Aku yakin, pasti ada yang berlaku dan kerana terlalu banyak berfikir, aku lupa segala-galanya...

"Tidak, aku tidak boleh membiarkan ianya berlarutan... Kalau tidak, susah aku nanti..."

Thursday 2 April 2009

"Alhamdulillah... "

Perkataan yang pertama keluar dari rongga mulutku... Debaran perasaan yang selama ini tersimpan jauh didalam hati telah hilang... Akhirnya, apa yang aku fikirkan telahpun terbukti dan terjawab... Aku akui, memang aku tidak senang duduk selama ini bila memikirkannya... Adakalanya, aku risau jika cara aku mungkin akan menyebabkan perubahan yang ketara sehingga ianya menjejaskan kedudukan keseluruhan... Sebab itu aku perlu berhati-hati kerana kesilapan kecil mungkin akan merubah segala-galanya... Aku tidak sanggup!...

Waktu itu merupakan saat getir dalam hidupku... Aku bertarung akal dan minda, memerah segala memori yang ada agar setiap soalan dapat dijawab dengan baik... Perhatian dan tumpuan diberikan sepenuhnya pada kertas yang berada dihadapan mataku... Tempoh 3 jam itu memang menduga tahap kesabaran dan keimananku selama ini... Ianya penuh dengan keperitan dan kesengsaraan... Dengan jari-jemari yang sakit gara-gara tidak berhenti menulis; ditambah pula dengan tekanan dari kawan-kawan disebelah kiri dan kanan... Memang waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan di dalam hatiku... Aku redha dan berserah bulat-bulat padaNya...

Selepas empat minggu ianya berlalu, sekeping kertas sampai ke tanganku... Tertera logo 'sekolah' beserta perkataan "Notification of Examination Result" di hadapannya... Aku jadi tidak keruan... Satu, kerana aku tidak menjangka bahawa aku akan menerima keputusan peperiksaanku ini di rumah kerana kebiasaannya, aku sendiri yang akan mengambilnya di 'sekolah'... Inilah kali pertama aku menerimanya di rumah... Kedua, aku cukup takut dengan keputusan yang bakal aku terima; sama ada aku lulus ataupun gagal... Dua kemungkinan ini sentiasa bermain di benak fikiranku... Tambahan pula, aku tidak yakin dengan apa yang telah aku coretkan diatas kertas jawapan peperiksaan tempoh hari... Keluar sahaja dari dewan periksa, aku tawakkal pada Allah agar apa yang aku jawab adalah mengikut kehendak pemeriksa... Sudahlah waktu tu dada aku terasa sendat, nafas ibarat tidak sampai... Rasa macam nak tumbang je waktu tu kerana tekanan dan bebanan perasaan yang memuncak beserta kepenatan yang melampau (beberapa hari sebelum hari peperiksaan, aku memang tidak cukup tidur dan terlalu penat dengan kerja-kerja di pejabat)...

Dengan perlahan dan berhati-hati, aku buka sampul keputusan itu... Aku selak helaian berkarbon untuk melihat apakah keputusannya... Aku tergamam... Aku kaget dengan apa yang aku lihat... Bukan sahaja tidak percaya malah aku rasa seolah-olah aku sedang bermimpi!... "Betulkah apa yang aku lihat ini???... Betulkan ini keputusan peperiksaan aku???...." Terasa macam nak tampar-tampar sahaja muka ini supaya aku benar-benar sedar...

Selagi lagi aku memuji kebesaran Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga... Bukan sahaja aku lulus dalam peperiksaan kali ini malah aku mendapat keputusan yang cemerlang!... Macam manalah aku nak percaya pada mulanya kerana aku sendiri tidak yakin dengan apa yang aku buat selama ini... Selalunya, bila aku akan menduduki peperiksaan, semangat dan keyakinan akan ada tetapi kali ini, aku tidak merasakan sebegitu... Lebih-lebih lagi apabila aku mengetahui bahawa beberapa rakan-rakanku terkandas dalam peperiksaan yang lepas... Sedikit sebanyak ianya mengganggu dan menggugat tahap keyakinan aku...

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya menghabiskan sesi per'sekolah'an aku kali ini... Inilah kali terakhir aku menduduki peperiksaan dan merupakan saat-saat manis bagi aku kerana aku berjaya mengakhirinya dengan keputusan yang amat membanggakan... Aku cukup gembira kerana kesemua rakan-rakan seperjuangan yang duduk semeja dan belajar bersama-sama denganku juga mendapat keputusan yang cemerlang!... Tahniah kepada Loke, Maria dan Salina kerana berjaya meniti saat-saat getir menjawab soalan-soalan peperiksaan yang mencabar ini...

Kini, aku boleh tersenyum puas dengan apa yang aku perolehi... Pangkat sebagai "associates" sudah boleh disandang dengan bangganya... Jubah konvo bakal disarung tidak lama lagi dan kini aku boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan mereka-mereka yang telah lama menyandang pangkat yang dianggap berprestij didalam industri yang aku ceburi ini... Secara rasmi, aku sudah menapak ke satu peringkat dimana orang akan menilai aku bukan sekadar penjawat biasa didalam syarikat, tetapi sebagai seorang yang mempunyai pengalaman dan pendidikan yang cukup untuk melakukan sesuatu perubahan demi untuk kebaikan bersama...

Satu perkara telahpun terlaksana... Kini bermulalah pula perkara yang berikutnya... Masih banyak lagi yang perlu aku usahakan... Masih banyak lagi perancangan yang perlu diberi perhatian... Masa dan keadaan juga adakalanya tidak mengizinkan... Tak apalah, akanku cuba sedaya upaya untuk melaksanakannya... InsyaAllah...

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.