Thursday 19 February 2009

Dalam keadaan yang tidak menentu sekarang ini, apa sahaja boleh berlaku... Lebih-lebih lagi ketika dunia sedang menghadapi zaman kemelesetan ekonomi... Saban hari aku dengar di corong radio dan kaca televisyen, syarikat-syarikat terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu meneruskan perniagaan akibat kelembapan ekonomi yang melanda... Bila difikirkan semula, rasa sedih dan kasihan juga... Bayangkan jika yang bekerja di dalam syarikat itu terdiri daripada mereka-mereka yang berpendapatan rendah; yang miskin dan tidak berharta... Bagaimanakah nasib mereka jika syarikat tempat mereka bekerja terpaksa di tutup?... Sudah pasti periuk nasi mereka juga terjejas dan mereka terpaksa menanggung pelbagai beban kehidupan selepas itu...

Di negara kita, kelembapan ekonomi dunia telah memberikan kesan yang sangat mendalam terutamanya sektor perindustrian... Tiap-tiap hari kita akan dengar dan tahu, kilang-kilang yang dahulu rancak beroperasi terpaksa membuang pekerja-pekerja mereka kerana kekurangan produksi dan pengeluaran akibat pengurangan permintaan di dalam pasaran... Ramai pekerja terpaksa menganggur tanpa bantuan dan sokongan... Sejumlah dari mereka yang diberhentikan ini merupakan golongan bawahan iaitu mereka yang berpendapatan rendah; sekitar RM300 - RM800 sebulan... Dan tidak lupa juga, kebanyakkan mereka datang dari kawasan yang terpencil, kampung-kampung dan bandar-bandar kecil...

Bilakah semua ini akan berakhir?... Sukar untuk kita jawab kerana berdasarkan laporan dan maklumat yang ada, ia akan mengambil masa yang lama untuk pulih seperti sediakala... Pasaran saham jatuh menjunam, harga pasaran minyak dunia turun, kadar inflasi meningkat dan sebagainya... Jika dahulu; ketika zaman kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, kita berjaya mengharungi semua kemelut ini, kali ini aku tidak pasti dan tidak begitu yakin... Bukan kerana aku tidak percaya, tetapi dari apa yang aku tahu dan lihat, ianya tidak begitu memberangsangkan... Timbul rasa bimbang di hati; adakah kita mampu menangani krisis ini seperti mana kita menanganinya pada tahun 1997 yang lepas?... Semestinya, semua ini kita serahkan kepada kerajaan yang memerintah... Ya, kerajaan yang sepatutnya melakukan tugas dan tanggungjawab membela rakyat... Betulkah semua ini adalah tanggungjawab kerajaan???...

Seminggu lepas, boss aku telah menghadiri mesyuarat pengurusan bersama ketua-ketua jabatan yang lain... Banyak isu yang telah dibincangkan dan salah satunya ialah mengenai keuntungan syarikat selepas setengah tahun pertama... Seperti yang dijangka, rekod telah menunjukkan bahawa syarikat tidak mendapat apa-apa keuntungan malah menghadapi kerugian untuk setengah tahun pertama ini... Berita ini amat membimbangkan dan mengejutkan semua pihak dan terbit dalam fikiran masing-masing, ianya adalah tempias dari kelembapan ekonomi yang dihadapi sekarang ini...

Bermula dari situ, pihak pengurusan telah menetapkan bahawa pencapaian syarikat akan dikawal selia dan diletakkan di tahap berjaga-jaga... Pengurangan kos terpaksa dilakukan, belanja dikawal, berkemungkinan bilangan pekerja akan dikeluarkan dari syarikat dan diletakkan ditempat lain dan sebagainya... Situasi kini tidak begitu baik dan apa yang pasti, aku tidak akan merasa pulangan bonus yang enak-enak seperti tahun-tahun yang lepas... Tak apalah, asalkan aku dapat kekalkan kerja aku, itu sudah memadai... Dari kena buang dan tiada pekerjaan langsung!!!...

Apa sahaja boleh berlaku di waktu ini... Sebab itu pengurus aku sentiasa mengingatkan aku dan rakan-rakan yang lain supaya "menjaga" diri masing-masing kerana apa sahaja yang kami lakukan akan memberikan kesan kepada pencapaian kerja kami... Jika tidak baik, maka nahaslah jawabnya... Pihak pengurusan tidak boleh memberikan kelonggaran seperti dahulu, "every action will be accountable..."

Di ketika ini, aku terbayang masa depan aku... Jika ini masih berterusan, maka agak sukar sedikit untuk aku mengejar impian yang selama ini telah aku tanam... Bukan tidak boleh, tetapi jika kerja makan gaji macam aku ni memerlukan masa yang panjang dan jika keadaan tidak mengizinkan; contohnya seperti sekarang, aku hanya mampu berdoa agar aku diselamatkan dari segala permasalahan yang ada... Aku tidak sanggup kecundang kerana aku masih mempunyai tanggungan yang perlu diberi perhatian...


0 comment:

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.