Wednesday 22 October 2008

Tepat jam 5.oo petang tadi, berakhirlah sudah 'penyeksaan' aku... Kelihatan jari hantu sebelah kiri aku bengkak-bengkak dan kemerahan akibat genggaman pen mata bola yang terlalu kuat... Aku memang begini, sejak dari kecil; bila menulis memang pen melekat di jari ibarat kene gam ngan UHU... Rasanya sebab tu kot kenapa tangan aku sentiasa sakit dan lenguh...

Memang selepas kertas jawapan dan soalan dikutip tadi, terasa lega yang teramat sangat!... Rasa macam beban diatas kepala ini telah hilang... Setelah sekian lama bertungkus lumus mentelaah, masa banyak dihabiskan dengan mengadap nota dan buku yang setebal hampir 300 helaian itu, akhirnya aku berjaya untuk menempuh dugaan yang maha hebat ini... Itulah lumrah yang selalu aku lalui setelah bergelar pelajar separuh masa... Siang hari bekerja dari pagi sampailah ke malam; hari Sabtu, hampir separuh dari masa aku dihabiskan dengan mengikuti kuliah dan membuat kerja-kerja sekolah... Yang tinggal, cuma hari Ahad; hari dan waktu untuk aku berehat... Itupun kalau aku ada peluang untuk rehat kerana bila ada sahaja dirumah, tanggungjawab aku kepada kedua ibubapa tidak berhenti... Banyak perkara yang perlu diselesaikan; nak kena tolong kemas rumah, pergi beli barang dapur dan sebagainya...

Entah bila penghujungnya, aku pun tidak tahu... Kadang kala, rasa bosan juga hendak menghabiskan rutin ini... Nasib baik aku tinggal satu sahaja subjek untuk dipelajari sebelum aku menamatkan sesi pengajianku... Dan selepas itu, tengoklah... Kalau ikutkan rasa hati, hendak saja aku sambung tetapi hati pula rasa keberatan dan malas!... "Oh tidak!!!.. Aku tidak boleh malas sekarang... Ini masa depan aku... Aku harus mengejar cita-cita aku demi untuk kebahagiaan aku dimasa akan datang... Mak dan abah banyak bergantung pada aku sekarang ini..." Esok, bila adik beradik aku dah kawin, tanggungjawab aku kepada orang tua terletak diatas bahu aku, anak lelakinya...

Selepas tamat sahaja peperiksaan tadi, entah kenapa hati aku tiba-tiba jadi gusar... Rasa tidak senang sahaja... Memang sejak kebelakangan ini, perasaan aku tidak tenteram... Minda berkecamuk... Memang aku tidak nafikan, aku menghadapi sedikit masalah tetapi aku tidak fikir ianya boleh mengganggu gugat ketenteraman jiwa aku diwaktu itu... Pasti ada sesuatu yang lebih besar mengganggu fikiranku...

Aku rasa risau dengan cara aku menjawab soalan peperiksaan tadi... Walaupun semua soalan sudah dijawab dan dicuba, namun aku tetap rasa tidak puas hati... Satu soalan esei di bahagian akhir tidak dijawab dengan baik... Bukan kerana aku tidak mahu menjawab tetapi aku merasakan isi dan butiran yang aku coretkan diatas kertas jawapan tadi seolah-olah tidak kena dengan kehendak soalan... Ibarat memakan gulai ayam yang tidak cukup rencah; terasa tawar dan kurang enak... Ditambah pula dengan kesakitan tangan aku yang tidak henti-henti menulis... Rasa macam hendak meraung sahaja didalam dewan peperiksaan tadi...

Aku tidak pernah rasa sebegini... Selama aku keluar masuk dewan peperiksaan, aku akan rasa lega dan puas hati dengan apa yang aku tulis... Tetapi kali ini, perasaan itu berbeza sama sekali... Entahlah, mungkin kerana aku terlalu banyak memikirkan masalah atau perihal yang remeh temeh... Aku hanya mampu berdoa kepada Allah agar keputusan nya nanti memuaskan aku... Terasa risau kerana aku telah berazam dari mula untuk mempertahankan keputusan peperiksaan aku... Kalau boleh, aku tidak mahu satu pun matapelajaran yang diambil tergelincir dari landasan pencapaian yang telah aku bina dari mula... Aku redha dan berserah sepenuhnya kepada Allah Taala... Moga Dia memperkenankan doaku...

Sebelum beredar pulang, sempat aku singgah di pejabat kolej untuk mengambil slip keputusan peperiksaan bagi subjek yang lepas... Peperiksaan tersebut telah 3 bulan berlalu... Terasa debaran kini memuncak!... Apalah keputusannya ek?

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Hati sedikit terubat selepas menyelak sampul slip keputusan peperiksaan yang aku terima... Alhamdulillah, Allah telah memperkenankan doaku selama ini... Syukur alhamdulillah, aku masih lagi bertahan dengan keputusan yang sama seperti yang lepas-lepas... Cuma persoalannya sekarang, adakah aku mampu bertahan sehingga ke akhir sesi pembelajaran aku nanti?...



Nota kaki:-
Semakin hampir aku di penghujung sesi kuliah, semakin malas pula dibuatnya!... Itulah manusia, seringkali alpa dan leka... Aku tidak seharusnya begitu dan sentiasa bersemangat dalam apa jua hal... Semua ini bukan untuk aku, tetapi untuk mereka-mereka; kawan-kawan seperjuangan yang satu kelas denganku... Jika aku hilang harapan, apa lagi yang tinggal untuk mereka??...


0 comment:

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.