Wednesday 23 September 2009

Bertemu kembali...

Hari ini merupakan hari keempat bulan Syawal... Sedar atau tidak, sudah empat hari kita menyambut Hari Raya Aidilfitri... Begitu pantas masa berlalu meninggalkan kita... Terasa takbir raya masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinga seolah-olah baru semalam ianya dilaungkan... Begitulah kehidupan kita sekarang... Kita tidak sedar apa yang berlaku dan meneruskan kehidupan seperti sedia kala... Bila kita teringat dan tersedar, kita sudah pun berada di satu masa yang lain...

Hari ini, aku sudah mula menyambung tugasku seperti sedia kala... Biarpun ramai rakan-rakanku yang sedang bercuti dan pulang ke kampung halaman bersama ahli keluarga dan sanak saudara menyambut Syawal, aku rasa keadaan di pejabat aku masih seperti biasa... Bezanya, suasana agak sedikit lengang dan sunyi sepi... Adalah beberapa kerat yang datang bekerja... Telefon pun kurang berbunyi; mungkin kerana pelanggan memikirkan ramai yang sedang bercuti minggu ini... Eloklah juga, tak perlu aku susah-susah nak terkejar-kejar mengangkat telefon... Kehidupan aku pun aman tenteram... Alangkah bagusnya jikalau keadaan ini berterusan sampai bila-bila... Tetapi itu mustahil !...

Adakala, aku hilang semangat untuk buat kerja... Bukan kerana aku tidak mahu membuat kerja-kerjaku, tetapi 'mood' bercuti masih lagi melekat dalam diri... Aku perlu 'adjust' diri aku untuk beberapa hari ini agar aku kembali seperti sedia kala, InsyaAllah... Aku disapa oleh rakanku... Dia ajak aku berbual untuk seketika... Banyak cerita yang kami bualkan; ada yang berkisar tentang cuti, tentang hari raya, tentang aktiviti raya dan ada juga cerita mengenai kerja-kerja di pejabat... Lama juga kami berbual sehingga aku terleka bahawa ketika itu aku dibayar gaji untuk melakukan kerja-kerja...

Aku tertarik mengenai satu topik yang dibangkitkan rakan aku ni... Dia banyak mengomel mengenai perkembangan dalam pejabat... Kebanyakkan berkisar mengenai ketidak adilan pihak atasan dalam menguruskan pentadbiran yang dianggap sebagai berat sebelah... Politik terlalu kuat dan amalan 'pilih bulu' sangat-sangat berleluasa... Aku bukan tidak bersetuju dengan pendapat dia, tetapi apabila melihat apa yang berlaku ketika ini, aku memahami dan menerima kenyataan yang dikeluarkan dia adalah benar... Nampak sangat pengurusan menggunakan politik dan kuasa veto masing-masing untuk menaikkan beberapa orang tertentu dalam syarikat... Padahal, ramai lagi calon-calon lain yang aku dan rakan-rakan rasakan jauh lebih layak...

Pelbagai alasan diberikan apabila rakan-rakan aku memohon agar dinaikkan pangkat, dinaikkan gaji dan sebagainya... Namun setiap rayuan dan permintaan dianggap remeh dan dibiarkan begitu sahaja... Ibarat seperti mencurah air di atas daun keladi... Aku sendiri tidak faham, mengapa perlu kami dilayan sebegitu rupa???... Apa beza antara kami dengan yang lain???... Bukankah pekerjaan yang kami lakukan selama ni sama sahaja jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang menjadi 'kesayangan' pihak pengurusan???... Malah, ada kerja yang kami lakukan itu jauh lebih banyak dan lebih baik berbanding yang lain... Tidakkah kami wajar diberi balasan yang setimpal dengan apa yang telah dilakukan???...

Sebelum ini, aku telah menerima banyak pandangan dan cadangan dari mereka yang jauh berpengalaman... Ramai yang menasihatkan aku supaya memikirkan masa hadapan dan beredar dari tempat aku sekarang... Kadang kala pernah juga aku terfikir untuk melakukan sedemikian tetapi peluang dan jalan itu masih lagi samar-samar... Aku tidak nampak peluang yang ada dan kerana terlalu banyak komitmen membuatkan aku berfikir dua tiga kali... Aku tidak mahu menempah masalah... Cukuplah dengan apa yang aku ada buat masa ini...

Hendak beralih ke peringkat yang lebih tinggi bukan senang... Tanpa cara yang betul, kita mungkin akan menghadapi masalah di kemudian hari... Oleh itu, penting bagi aku untuk melihat kesemua aspek sebelum merancang apa-apa... Memang benar, kalau nak tunggu sampai bila?... Tetapi kalau aku nak naik cepat, kejar itu dan ini, apa yang akan aku terima kemudian hari???... Buatnya kalau aku lompat tu bakal memberikan masalah besar untuk aku, tidak berguna juga kan???... Aku juga percaya, jika sudah rezeki, pasti tidak akan kemana-mana... Aku sudah berusaha dan mencuba yang terbaik... Setiap kali kaki ini melangkah masuk ke ruang pejabat, aku tadahkan tangan memohon kepada Allah agar dilapangkan dadaku dan dimurahkan rezeki selalu...

Perkembangan terkini yang aku ketahui, kemungkinan tiada kenaikan gaji untuk tahun hadapan... Jika ada pun, hanya orang-orang terpilih sahaja yang akan menerimanya... Persoalannya, siapakah orang-orang yang terpilih itu?... Sekali lagi ia menjadi tanda tanya di dalam fikiran masing-masing... Selama aku bekerja di dalam syarikat ini, tidak pernah aku merasakan seteruk ini... Sehingga kenaikan gaji yang boleh dikatakan tetap sepanjang tahun itu boleh jadi tidak menentu... Sudahlah bonus yang diterima ala kadar (ibu pejabat dapat lebih daripada apa yang anak syarikat terima), faedah yang lain juga belum tentu akan kami perolehi seperti sedia kala... Sekarang sudah tidak macam dahulu, segala tidak tentu dan tidak tetap... Moga-moga apa yang patut diperolehi dapat diperolehi... Walau apapun, aku tetap bersyukur dengan apa yang aku perolehi di masa ini...

0 comment:

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.