Friday 16 September 2011

Hari ini sungguh memenatkan aku... Tapi aku rasa puas... Puas kerana apa yang aku rancangkan berjaya aku penuhi... Alhamdulillah...

Seawal jam 5.30 pagi, aku dah bangkit dari tidur... Walaupun hari ini merupakan hari cuti umum se Malaysia (Hari Malaysia), aku tetap bangkit awal... Bukan kerana aku kena bersiap untuk pergi ke tempat kerja tetapi untuk menunaikan janjiku menghadiri perarakan Hari Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka... Lagipun, memang aku nak pergi ke sana hari ini untuk melihat dengan mata kepalaku sendiri suasana dan kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini... Selama ini, asyik tengok di kaca televisyen saja, bila lagi nak tengok secara 'live' kan?... Dalam masa yang sama, dapatlah aku 'mengasah' bakat dan skil aku dalam bidang fotografi... Lagipun, sebelah pagi memang aku tak ada apa-apa program... Jadi aku pun ikutlah teman aku ke lokasi tempat kejadian... Kami berangkat menggunakan perkhidmatan tren PUTRA sebab nak elakkan tersangkut dan tidak boleh masuk ke pusat bandar... Senang untuk bergerak dan aku tak payah nak pening kepala fikir di mana aku nak letak kereta aku nanti...

Sampai saja di Dataran Merdeka, macam biasa... Orang awam sudah ramai berkerumun di tempat berlangsungnya upacara sambutan... Terasa kemeriahan dengan warna-warni penduduk ibu kota dan pelawat yang datang dari segala ceruk dan pelusuk tempat... Ada yang berpakaian tradisional malah yang 'canggih' pun ada gak... Menarik!... Aku dan teman memang tidak melengahkan masa; mencari 'port' yang sesuai untuk melabuhkan diri dan menjalankan tanggungjawab kami sebagai 'paparazi' yang tidak berdaftar dan tidak bertauliah.. Hehehehee..

Macam-macam ragam orang yang aku lihat dan temui... Dari sekecil-kecil umat sampai lah yang ke tua bangka... Segala lapisan masyarakat, semuanya berkumpul dan berkampung di sini... Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang bersama-sama meraikan Hari Malaysia yang disambut 16 September setiap tahun... Tersentuh jiwaku bila melihat anak-anak kecil yang ada... Begitu ramai sekali!... Terdetik dalam fikiranku; "dalam seawal begini, mereka masih lagi mampu bangun seawal pagi semata-mata untuk mengikuti ibubapa mereka ke Dataran Merdeka menyambut Hari Kebangsaan..." Kalau kebanyakkan kita, dapat saja cuti umum, maka akan ramailah yang akan bangun lewat... Berbeza sungguh semangat 'keMalaysiaan' yang tersemai di hati sanubari insan-insan kecil ini... Eloklah begitu... Mereka pun nanti, warisan bangsa kita juga... Semangat dan sifat-sifat sebegini harus dipupuk sewaktu mereka masih kecil lagi... Semangat kewarganegaraan seharusnya berada di paras tertinggi agar warisan kita terus kekal dan wujud di masa hadapan...

Pelbagai acara dilakukan selain daripada acara perarakan lintas langsung... Formasi manusia di tengah-tengah padang di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad nyata mencuri pandangan dan perhatianku... Tapi malangnya, kedudukan aku terlalu jauh untuk aku rakamkan saat-saat indah dan menarik tadi... Tidak mengapa lah... Aku nak bergerak masuk untuk pergi lebih dekat pun, agak sukar kerana kawalan pegawai yang bertugas yang ketat... Jadi, hanya beberapa 'shot' perarakan dari jarak dekat yang mampu aku ambil pagi tadi... Jadilah tu, kan... Janji aku dapat beberapa keping gambar... Nak dapat yang 'perfect' ketika tu, memang payahlah.. Tu pun, banyak yang aku 'gamble' sebab terlalu ramai umat manusia yang berpusu-pusu menuju kehadapan untuk melihat perarakan dari pelbagai kontigen yang menyertai perbarisan kali ini... InsyaAllah, ada kesempatan nanti, akanku muat-naikkan hasil gambar-gambar yang telahku tembak...

Pabila melihat keadaan sekeliling, dengan aku dikerumuni jutaan rakyat Malaysia; diselangi pula dengan lagu-lagu patriotik dan Negaraku; hatiku rasa berbangga dan bertuah kerana aku dilahirkan di negara ini, negara bertuah... Aman dan damai walaupun berbilang bangsa dan kaum; tanpa sebarang pertelingkahan dan masalah... Alangkah bangganya aku dengan negaraku ini... Setelah sekian lamanya melalui pahit getir zaman kesusahan sehinggalah kini maju dan hampir setanding dengan negara besar yang lain... Alhamdulillah, syukur aku kepada Allah kerana dapat menikmati semua ini di bumi tempat tumpah darahku ini... Di mana lagi dapat ku cari semua ini???... Pergi lah sejuah mana pun, merantau lah satu dunia pun, tetap takkan aku jumpa negara Malaysia bertuah ini...

Benarlah kata orang-orang tua, "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri... baik lagi di negeri sendiri..."

Masa perarakan tadi, sempat juga aku melihat pelbagai inovasi hasil kerja tangan rakyat Malaysia... Antara yang mencuri perhatianku ialah penghasilan lebih banyak kereta nasional negara, Proton... Dari model "Tuah" ke "Jebat"...  "Lekir" ke "Lekiu"... Kesemuanya ku lihat menarik dengan ciri-ciri yang berbeza... Bertapa bangganya aku bila negara kita mampu mengeluarkan produk-produk yang berkualiti tinggi seperti bio-diesel, produk berasaskan asas tani dan sebagainya... Kita juga tidak ketinggalan dari segi teknologi di mana kita mampu menghasilkan kereta solar sendiri... Ya, tidak dinafikan semua ini sudah ada dan tercipta di negara maju yang lain... Pokoknya, sekiranya negara maju tersebut boleh buat dan mampu mengeluarkannya, kita juga mampu!...

Terima kasih Malaysia untuk semua ini... Dan aku sebagai salah seorang anak Malaysia, tetap tidak akan lupa asal usul aku walaupun di mana saja dan kemana saja aku pergi dan jelajahi selepas ini...

Majlis berakhir lebih kurang pukul 10.00 pagi dan aku bersama teman duduk minum kejap sebelum berangkat pulang untuk solat Jumaat selepas itu... Petang pula, ada jemputan rumah terbuka CEO dari syarikat penyelaras kerugian di Seri Kembangan... Asalnya, malas nak pergi tetapi aku gagahi juga kerana menerima arahan dari boss aku sendiri... Lagipun dia tak tahu jalan, jadi macam biasa aku lah yang kena memandu...

Selamat Hari Malaysia buat semua rakyat Malaysia yang membaca coretanku kali ini..... Semoga Malaysia akan terus maju, hendaknya....

0 comment:

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.