Monday, 9 January 2023

Andai dapatku putarkan masa kembali..
Andai dapatku elakkan semua ini agar tidak terjadi..
Andai ku tahu ini yang akan ku terima dan harungi..
Takkan ku turuti apa mahunya..

Sesal kini tiada guna, benda dah pun berlaku. Masa tidak akan dapat diputar kembali. Kadang terfikir, berbaloikah pengorbanan aku selama ini sedangkan aku lihat, tiada satu pun yang bersimpati dengan nasib yang menimpa diri aku sekarang.

Benar, aku tidak menolak takdir dan qada' serta qadar yang telah ditentukan Allah SWT. Setiap yg berlaku pada diri aku; pasti ada hikmah disebaliknya. Aku mungkin tidak dapat melihatnya buat sementara waktu namun, akan tiba masa nanti, semuanya akan baik baik sahaja.

Sepanjang 25 tahun berkhidmat di tempat dan divisyen yang sama, aku tidak nampak apa yang telah aku usahakan, setimpal dengan apa yang aku dapat dan alami sekarang ini. Ya, benar. Mereka ada memberi imbuhan dan 'reward' yang mereka rasa "patut" untuk aku. Bukanlah aku ini tidak bersyukur dengan apa yang sudah aku terima. Memang aku sangat bersyukur dan bertuah kerana dikurniakan itu dan ini sekarang. Tapi, adakah ini yang sepatutnya diterima aku atau; ia sepatutnya lebih dari itu?

Dan bila kini, aku sudah tidak lagi seperti dahulu. Aku sudah tidak mampu melakukan apa yang orang normal di pejabat dapat lakukan, tidak dapat menghadiri seminar, mesyuarat di luar apatah lagi road trip yang syarikat anjurkan gara gara kekangan kesihatan aku. Kadang rasa sedih sebab semuanya telah berakhir dan aku tidak dapat menyumbang sangat seperti orang lain.

Aku cuba untuk membuat sesuatu yang boleh aku lakukan tapi entahlah, adakah ianya cukup dan memadai untuk mereka?

Atau aku harus batalkan hasrat dan niat aku dan hanya memberikan apa yang mampu aku lakukan?

Sunday, 8 January 2023

Bila bercakap pasal bercuti, pasti seronok! Mana kan tidak, kita tak perlu nak fikir pasal kerja atau perkara yang memberatkan kepala. Waktu bercuti adalah waktu di mana minda dan fikiran direhatkan dari segala hal-hal setiap hari.

Tahun lepas, aku berkesempatan untuk pergi ke satu tempat yang sebelum ini belum pernah aku jejaki. Boleh dikatakan agak jauh juga tempat ini tapi ia berbaloi. Pantainya indah dan kawasan persekitarannya nyaman. Tempat ini tidak seperti di Port Dickson di mana ramai orang kerana kedudukan lokasinya yang agak dihujung.

Terdapat banyak juga hotel dan resort di sini, dari yang 5 bintang sehinggalah yang bajet. Pengunjung boleh memilih mana mana tempat yang mereka ingin menginap mengikut kesesuaian dan bajet masing masing.

Secara umumnya, fikiran aku lapang bila berada di sini. Mendengar desiran ombak menghempas pantai sangat mengasyikkan. Tenang setenang tenangnya!


Friday, 6 January 2023

Bersua kembali.

Siapa je yang tak suka makan? Sememangnya, makanan amat diperlukan oleh setiap makhluk yang bernyawa untuk meneruskan kehidupan. Zat-zat yang disediakan oleh makanan dapat memberikan tenaga dan seterusnya nutrisi yang diperlukan oleh badan kita. Tidak kira lah apa jenis makanan yang diambil, pasti akan ada kandungan nutrisi di dalamnya sama ada banyak ataupun sedikit.

Baru baru ini, jabatan tempat aku bekerja telah menganjurkan sesi makan-makan sempena hujung tahun 2022 dan meraikan pekerja-pekerja yang baru memulakan tugas. Konsep yang digunapakai kali ini ialah "potluck" makanya, sesiapa yang turut serta diwajibkan membawa menu untuk dihidang di tas meja. Terpulang menu apa yang hendak di bawa sama ada dimasak sendiri atau ditempah dari tukang masak di luar.

Biasalah, disebabkan semua bekerja dan tidak mempunyai banyak masa di rumah untuk menyediakan menu-menu yang ingin dibawa, ramai yang mengambil pendekatan untuk menempah sahaja. Menu yang dipilih dikongsi (bayaran) bersama. Bila dikumpul semua menu, sangat meriah jadinya sebab ramai yang ingin membawa menu masing masing.










Rata rata memang seronok kali ini melihat menu-menu yang terhidang. Pada yang baru pertama kali mengikuti program sebegini, mereka cukup terkasima sebab tidak pernah mengalaminya.

Alhamdulillah, majlis berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Oh ya, dalam masa yang sama ada juga sesi bertukar-tukar hadiah bersama rakan-rakan. Seronok melihat masing-masing terhibur bila dapat hadiah dari orang lain.

Tradisi yang dapat mengeratkan hubungan silaturrahim seperti ini penting kerana tanpanya, ibarat datang kerja lepas tu balik. Tiada yang dapat mengeratkan sesama manusia melainkan "MAKAN" !

Tuesday, 3 January 2023

 

Begitulah manusia, kalau dah tak suka tu buatlah macam mana sekalipun, tetap tidak suka juga. Hatta, betapa baikpun kita didepan dia, memang takkan dia pandang kita ni seolah olah kita ni musuh yang akan menjatuhkan dia.

Sifat negatif ini tidak seharusnya ada dalam diri seseorang, apatah lagi dalam pejabat kerana kita datang kesitu bukan untuk cari masalah. Kita mencari rezeki dan duit dari kerja yang kita lakukan itu haruslah halal sebab akan masuk dalam perut kita juga.

Aku sebenarnya tidak faham dengan segelintir orang yang mengamalkan sikap menunjuk nunjuk, berlagak, sombong dan angkuh dalam kehidupan seharian. Lebih lebih lagi waktu bekerja, kalau boleh setiap detik waktu itulah nak tunjuk perangai yang sebenar.

Kalau dia betul sangat dan bagus tu, lain lah! Ya, aku sendiri pun bukanlah bagus mana tetapi; setahu aku, aku takde lah sampai nak buat orang rasa 'annoying' bila bekerja dengan aku. Aku ni dah 25 tahun kot bekerja dan kalau ikutkan, apa yang aku kerjakan selama ini, aku dah tau selok beloknya. Orang kata, tutup mata pun boleh buat.

Kadang, kesian aku dengan orang macam ni. Dari apa yang aku perhatikan, dia macam kurang 'kasih sayang' agaknya sampai ada masa, begitu teruk dia tunjuk perangai dia. Sampaikan habis siapa yang dia jumpa, kena tempiasnya. Sabar jelah, kan...

Apa pun, aku berdoa agar dia berubah lah satu ketika nanti. Bukan apa, kalau terus menerus dia berkelakukan begini, jangan terkejut satu masa nanti, tiada siapa pun akan hormat pada dirinya malah semua orang akan menjauhkan diri dari dia.

Orang kita sekarang bukan macam orang dulu-dulu, sekali kau buat onar, sampai bila bila orang akan ingat dan tidak akan mendekati kau. Mungkin menegur tu, ada lah tapi tidak rapat malah mungkin kau akan diabaikan.

Wallahu alam.

Sunday, 1 January 2023

Sunday, 1 February 2015

 

"Kerana sayang, ku turutkan semua. Ku ikutkan sahaja apa mahunya".

Biasa tak mendengar ungkapan kata kata ini? Pasti ada diantara kita sudah masak dan lali dengan ayat yang diucapkan oleh individu terutama lelaki. Perempuan pun ada juga yang cakap macam ni lebih lebih lagi bila tengah mabuk cinta. Apa sahaja kemahuan pasangannya, diikutkan sahaja janji hati dan nafsu puas. Lepas tu, bila kena tinggal menyesal tak sudah. Sudah terlewat kerana nasi sudahpun menjadi bubur.

Bagi mereka yang 'biasa' bercouple, ini memang lumrah asam garam dalam bercinta. Mereka (selalunya) hanyut dibuai asmara. Feeling habis sampai tak sedar, apa yang dibuat itu melanggar hukum hakam agama dan telah melampaui batas. Tidak ada sedikit pun perasaan malu sesama manusia apatah lagi dengan Allah SWT! Subhanallah.

Bila hanyut, hatta ibu bapa pun diabaikan. Ajaran dan pegangan menjadi taruhan dan setiap kali bila berdua, memang pihak ketiga tu siapa lagi kalau bukan syaitan yang sentiasa membuai perasaan ingin berbuat sesuatu yg selama ini tak terfikir dan terjangkau diingatan. Sebab itulah Nabi berpesan; kalau ada antara laki laki dan perempuan duduk di dalam satu tempat (hanya berdua sahaja), eloklah salah seorang beredar pergi kerana jika tidak, akan hadir 'pihak ketiga' yang memujuk dan menjentik hati kedua dua individu ini untuk datang mendekati. Bahaya tu!

Tapi kan, zaman sekarang kalau kita lihat ini adalah perkara biasa di mana individu lelaki bujang mahupun sudah berumah tangga duduk berdua dengan pasangan berlainan jantina adalah sesuatu yang normal. Biar di tempat gelap dan sunyi mahupun terang terangan. Apa orang kata, "couple" mestilah kena duduk dekat dekat dan berdua. Takkan bersendirian pula?

Mereka ini, tanpa segan silu berpeluk pelukan dan berpegangan tangan tanpa mengira sama ada itu adalah muhrim mereka atau tidak. Kalau sekiranya bukan Islam, tiada masalah sebab agama mereka tidak melarang seorang lelaki bertemu dan bermadu kasih dengan pasangan wanitanya. Tetapi tidak bagi umat Islam yang memang melarang keras (haram) seorang muhrim lelaki menyentuh seorang wanita yang bukan muhrimnya. Islam memang sangat indah dan menjaga batas terutama dalam perihal berkenalan dan berkawan.

Bila zaman dah moden, iman di dada sangat tipis hatta yang haram pun jadi halal. Sana sini, ada saja kes yang tidak enak didengar yang melibatkan lelaki bujang Islam ditangkap bersama pasangan yang belum dinikahinya. Bila ditanya kenapa duduk berduaan di dalam bilik hotel ni? Alasan yang diberi hendak berehat dan melepaskan lelah. Lelah apanya bila dicekup, yang lelaki dah separa bogel tidak berbaju dan si wanita pulak hilang tudung dan menekup kepala dengan kain tuala. Jadi, apakah itu? 

Macam dah tak ada tempat nak berehat! Rumah sendiri ada, kenapa tak balik dan berehat di rumah sahaja?

Begitulah alasan yang diberikan oleh mereka mereka yang ingin berbuat maksiat. Sama ada terang terangan mahupun yang tersembunyi.

Ramai yang telah 'rosak' aqidah dan imannya kerana tiada lagi perasaan malu dan berdosa bila berdua dan "bersama". Benar kata mereka, "Eh, dosa aku aku punya sukalah. Kau sibuk, kenapa?"

Friday, 30 January 2015

Bila sebut mengenai penyakit kanser, umum mengetahui bahawa ia merupakan penyakit yang banyak dihidapi manusia. Tidak kira usia dan latar belakang, penyakit kanser adalah risiko pada semua makhluk yang bernyawa. Tanpa kita sedar, kita mengidapinya walaupun kadang, kita telah mengamalkan gaya hidup sihat.

Persoalannya kini, bagaimana seseorang itu boleh menghidapi penyakit kanser? Adakah penyakit ini disebabkan keturunan (genetik) atau ia boleh dihadapi dan dijangkiti dari orang lain? Benarkah penyakit kanser boleh merebak sama seperti penyakit AIDS dan lain lain?

Berdasarkan semakan Portal MyHealth, kanser boleh terjadi jika jenis sel telah hilang kawalan mekanisme dan membiak dengan sendiri tanpa dikawal oleh badan. Setiap sel di dalam badan mempunyai jangka hayat tersendiri untuk membiak dan berhubung kait dengan sel sel yang lain di sepanjang jangka masa kehidupan seseorang individu.

Dalam erti kata yang lain, sel sel ini adalah "hidup" dan sekiranya ia sudah sampai waktunya, ia akan terus membiak dengan sendiri tanpa dikawal oleh badan. Inilah yang dinamakan "KANSER" kerana kalau tidak dikawal, ia akan memudaratkan fungsi dan kesihatan badan.

Ada yang bertanya, adakah semua orang mempunyai sel kanser ini?

Jawapannya ialah "YA". Semua individu mempunyai sel kanser di dalam badan masing masing. Cuma yang membezakannya ialah sama ada sel sel kanser ini aktif ataupun tidak. Secara teknikalnya, sel kanser di dalam badan manusia tidak aktif kerana sel sel ini dikawal oleh sistem badan kita maka yang aktif cuma sel sel sihat badan sahaja.

Terdapat pelbagai jenis kanser antaranya kanser limfoma, kanser peti suara, kanser kepala dan leher (selalunya kanser otak), kanser perut, kanser darah (yang lebih dikenali sebagai leukimia), kanser hati, kanser kulit, kanser payu dara, kanser prostat dan lain lain lagi.

Terbaru, aku baru mengetahui bahawa ibuku sendiri telah menghidap kanser limfoma. Pada mulanya, aku sangat sedih bila mengetahui keadaan diri ibuku apabila mula perasan terdapat bonjolan di bahagian lehernya. Ibuku tidak mengesyaki apa apa yang aneh dan semenjak bonjolan itu muncul di lehernya. Semuanya seperti keadaan sedia kala.

Lama kelamaan, benjolan itu semakin membesar dan semakin menimbulkan masalah kepada ibuku lebih lebih lagi ketika hendak tidur. Memandangkan bonjolan itu semakin membimbangkan, aku telah berbincang dengan adik beradik dan membawa ibu ke hospital untuk diperiksa. Manalah tahu kan, kalau ada benda lain?

Limfoma adalah sejenis kanser yang berkaitan dengan sel, iaitu limfosit, yang terlibat dengan sistem imunisasi badan manusia. Sepertimana jenis kanser yang lain, limfoma terbahagi kepada jenis-jenis tertentu, hampir 35 jenis telah dikenal pasti, bergantung kepada jenis sel yang terlibat.

Sistem limfa dalam badan manusia adalah terdiri daripada sel-sel limfosit yang melalui jaringan saluran limfa ke seluruh badan, dan juga kelenjar limfa. Bendalir limfa akan membawa virus dan bakteria yang masuk kedalam badan, dan seterusnya akan di tapis di kelenjar limfa sebagai cara badan manusia bertindakbalas terhadap jangkitan kuman. Ini menyebabkan kelenjar limfa membengkak dan sakit. Sel-sel limfosit pula terbahagi kepada dua, iaitu B dan T linfosit yang masing-masing berperanan mengeluarkan antibodi dan mengaktifkan tindakbalas badan menghadapi serangan kuman.


Kanser berlaku apabila sel-sel ini mengalami perubahan tingkahlaku dimana ia tumbuh dan berkembang dengan tidak terkawal. Perubahan ini dinamakan ‘malignant transformation’, dimana ia menyebabkan pengumpulan sel yang luar biasa, pembengkakan kelenjar limfa, dan seterusnya merebak ke organ sekeliling dan juga tisu otak, usus, tulang, paru-paru dan sum sum tulang. Ini menyebabkan fungsi organ–organ penting terganggu dan kemerosotan tahap kesihatan pesakit, dan akhirnya boleh membawa maut jika tidak dirawat dari  awal.

Limfoma terbahagi kepada dua kategori umum, iaitu Hodgkin dan Non Hodgkin. Kedua-dua jenis menunjukkan simptom penyakit yang serupa, dan pembengkakan boleh berlaku di mana– mana kelenjar limfa. Perbezaan diagnosis adalah penting, kerana jenis rawatan dan prognosis penyakit adalah berlainan. Ini dilakukan dengan penelitian dan ujian –ujian tertentu  kepada sel- sel kanser, dan diagnosis penyakit boleh memakan masa yang lama, kerana sesetengah jenis limfoma adalah sukar dikenal pasti dan memerlukan kepakaran dalam bidang patologi, molekular dan genetik.

Sebab-sebab

Sebab–sebab sebenar limfoma terjadi adalah tidak diketahui. Tetapi, terdapat faktor-faktor tertentu yang menyumbang kepada terjadinya limfoma seperti berikut:

  1. Faktor umur : kanser limfoma meningkat dengan peningkatan umur seseorang. Dikatakan dalam golongan muda berumur 20 hingga 24 tahun, insiden limfoma adalah 2.4 kes dalam 100,000, tetapi meningkat kepada 46 kes dalam 100,000 dalam golongan dewasa berumur 60 hingga 64 tahun.
  2. Jangkitan kuman bakteria dan virus seperti HIV, EBV, helicobacter pylori, hepatitis B dan C.
  3. Penyakit yang merendahkan sistem imunisasi badan seperti :
    • penyakit autoimmun
    • penggunaan ubat immunosuppressive selepas pemindahan organ
    • penyakit keturunan seperti ataxia telangectasia.
  4. Pendedahan kepada bahan toksik seperti : racun serangga, racun rumpai dan benzene.
  5. Genetik atau keturunan kanser.

Tanda-tanda

Tanda-tanda penyakit limfoma adalah seperti berikut :

  1. Pembengkakan kelenjar limfa yang tidak sakit, atau bengkak pada hati dan limpa.
  2. Demam berpanjangan
  3. Hilang selera makan
  4. Penurunan berat badan yang mendadak
  5. Rasa keletihan dan tidak bertenaga  kerana kekurangan darah dan selera makan
  6. Ruam kulit dan kegatalan (boleh berlaku dalam 25 % kes , selalunya di bahagian kaki)
  7. Tanda-tanda lain yang berkaitan dengan pembengkakan kelenjar limfa di bahagian tertentu seperti batuk dan sesak nafas (paru-paru), berak berdarah (usus), pening dan sawan (otak) atau  kelumpuhan (sistem saraf).
Begitulah tentang hal ibuku selepas selesai menjalani ujian dan rawatan. Walaupun kanser limfoma tidak seperti yang lain, ibu tetap diwajibkan menjalani kimoterapi di Hospital Kuala Lumpur. Ini semua demi menyelamatkan ibu dari penyakit yang dihadapinya.

Alhamdulillah, kini rawatan telah selesai dan limfoma di leher ibu telah susut/hilang. Tak pasti sama ada ia benar benar hilang atau masih disitu. Tapi dari mata kasar, kelihatan leher ibu telah kembali seperti sediakala. Aku bersyukur untuk ini dan berharap ibu kembali sihat seperti biasa.

Cumanya, efek dari rawatan kimoterapi hari tu telah menyebabkan memori dan ingatan ibu terganggu. Dia cepat lupa dan selalu tak ingat apa yang telah dibuatnya sebelum ini. Kadang letak barang sekejap pun dia tak ingat dimana. Tapi itulah, kalau tak buat rawatan kimoterapi, makin teruk pula kanser limfoma dia.

Jadi pilihan antara satu, pulih dari kanser limfoma tapi hilang memori atau kanser membiak dan ibu terseksa. Berat memang berat tapi itulah hakikat yang harus aku dan keluarga terima.

Thursday, 29 January 2015

Pernahkah anda menaiki pesawat atau kapal terbang sebelum ini?

Jika pernah, pastinya anda sudah biasa dengan 'routine check' yang dikendalikan oleh anak kapal sebelum pesawat meneruskan penerbangan termasuklah pengumuman keselamatan sebelum berlepas dan mendarat.

Bagi yang sudah biasa menaiki pesawat, pengumuman keselamatan yang disiarkan oleh syarikat penerbangan amat berbeza. Malaysia Airlines contohnya, menggunakan sistem rakaman elektronik dan paparan LCD bagi menunjukkan tatacara mengendalikan peralatan jika berlaku kecemasan.

AirAsia pula memilih pendekatan cara tradisional iaitu menggunakan pramugara/pramugari mereka bagi membuat demonstrasi. Jadi, apa yang hendak dihairankan?

Walaupun ianya sesuatu yang biasa, namun sedarkah anda bahawa berapa ramai penumpang yang menaiki pesawat ini memberi perhatian sepenuhnya kepada pengumuman yang dibuat? Aku berani cakap, dalam 200 penumpang yang berada di dalam perut kapal terbang, kurang dari 10% sahaja yang duduk diam sambil menumpukan perhatian terhadap pengumuman keselamatan ini. Yang selebihnya, sibuk dengan "hal" masing-masing.

Itulah masalahnya dengan manusia; jarang memberi perhatian kepada perkara yang penting! Kalau dah terjadi sesuatu perkara, baru nak terhegeh-hegeh ambil tahu. Mungkin pada waktu itu, sudah terlambat. Bila corong udara terkeluar, entah tahu atau tidak bagaimana hendak memasangnya. Itu belum campur jaket keselamatan lagi. Silap haribulan, yang sepatutnya diklip dan diikat, terus berbelit belit di badan. Alasannya, panik punya pasal!

Namun begitu, ada juga syarikat penerbangan yang cuba mengambil inisiatif sendiri untuk menarik perhatian penumpang bagi mendengar pengumuman keselamatan mereka. Video rakaman yang aku perolehi dari YouTube ini memamparkan anak kapal dari syarikat AirAsia mengambil langkah untuk buat sesuatu yang "lain dari yang lain" bila menerangkan tentang tatacara keselamatan.

Secara serius, aku memang "salute" mereka ini. Walaupun agak ganjil dan sebenarnya melanggar tatacara membuat pengumuman di dalam pesawat, tapi aku rasa ianya sesuatu yang kreatif dan wajar diberi kredit! Tahu kenapa? Dari orang buat taktahu, semuanya terdiam dan mendengar setiap bait perkataan yang disampaikan.

Bukankah itu sesuatu yang berjaya? Mesej yang ingin disampaikan memang benar benar 'sampai' kepada penerimanya.

Aku; sehingga kini masih lagi tergelak bila menonton klip video ini. Manakan tidak, memang kelakar sungguh! Cuba kalian amati betul betul apa yang pramugara tu sebut (termasuk dengan efek sekali!).

Setiap kali menaiki pesawat, memang aku tidak pernah lupa membaca doa menaiki kenderaan sambil mengucap banyak-banyak. Perasaan gemuruh itu tetap ada terutamanya ketika berlepas (take-off) dan juga mendarat (landing).

Pengumuman seperti ini memang sentiasa menjadi keutamaan aku dan aku pasti akan memberi perhatian sepenuhnya kerana tatacara keselamatan adalah berbeza dari satu pesawat dengan pesawat yang lain.

Wednesday, 28 January 2015

Salam ukhwah dan selamat sejahtera buat pembaca sekalian.


photo pic29292.gif

Monday, 26 January 2015

Bersua kembali.

Sejauh manakah anda mempercayai hubungan jarak jauh?

Adakah anda mempunyai sebarang pengalaman sebelum ini? Benarkah perhubungan jarak jauh itu adalah sesuatu yang agak mustahil dan tidak mungkin akan terjadi?

Sebenarnya, ia bergantung kepada individu dan bagaimana sesebuah hubungan itu berlangsung. Aku pernah mendengar cerita sebelum ini, ada antara kita kini hidup bahagia setelah sekian lamanya menjalinkan hubungan jarak jauh. Jadi, ianya tidaklah sukar dan mustahil sebenarnya.

Bagi aku, jalinan sesebuah hubungan bukanlah berdasarkan jarak dan masa. Semuanya pasti akan terjadi jika kita pandai mengendalikan sesebuah hubungan tersebut. Selain dari itu, faktor seperti hati dan perasaan, qada' dan qadar serta jodoh juga menyumbang kepada kejayaan sesebuah hubungan.

Orang tua pun dah berpesan, "ikan di laut, asam di darat; dalam periuk, bertemu juga". Benar sangatlah perumpamaan ini. Betapa jauh sekali kita dengan pasangan/bakal pasangan, sejauh manakah berbeza ruang waktu, kalau Allah dah jadikan dan tentukan kamu hidup bersama si dia, maka dengan dia juga kamu akan bersua. Itu janji Allah pada semua hambanya.

photo 5f7a8843-2f3c-42ec-8de5-4d37b0cd8a8e.jpg

Menghormati sesebuah hubungan itu amat penting. Selain dari menghormati, kita harus ikhlas dan sentiasa beringat bahawa jarak bukanlah sebagai alasan untuk kita tidak menghormati hubungan yang di bina. Ia bukan lah juga alasan untuk kita berpaling tadah mahupun curang dengan insan yang kita sayangi.

Kita harus percaya pada pasangan kita, ikhlas dan jujur pada dia dan sentiasa beringat bahawa dia diciptakan untuk bersama dengan kita. Dek kerana jarak ataupun masa yang berbeza, kita tidak dapat bersama dengannya buat sementara waktu. Namun, aku tidak begitu faham, kenapa manusia zaman sekarang amat sukar untuk jujur dan setia dalam perhubungan yang mereka bina sendiri. Jangan katakan jarak jauh, dah dekat-dekat pun menghadapi masalah! Curang sudah menjadi perkara yang biasa kita dengar. Baik yang sudah berkahwin mahupun yang masih membina ikatan cinta. Apa masalahnya?

Mungkin pegangan dan didikan agama yang kurang menjadi punca bagaimana sesebuah hubungan  menjadi gagal. Perasaan yang dibina bertahun lamanya hancur musnah dalam sekelip mata. Masing-masing masih gagal untuk memahami dan mendalami nilai sebenar hubungan yang telah dibina. Bagi yang menghargai, semestinya merasa sayang dan tidak sanggup membiarkan ianya putus di tengah jalan. Sebaik-baiknya cuba menyelamatkan sebelum terlewat.

Jadi, sejauh manakah hubungan jarak jauh itu berkesan pada anda?
 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.