Sunday 11 January 2015

Bersua kembali.

Syukur, alhamduillah. Akhirnya, sempat juga aku menyiapkan tugasan mengemaskini maklumat dan data dalam sistem komputer pejabat. Proses yang biasa dilakukan oleh Jabatan Informasi dan Teknologi ini telah di'serahkan' kepada aku buat sementara waktu memandangkan mereka tidak berapa pasti apa yang perlu dilakukan.

Seperti sedia maklum, banyak perkara yang mereka tak berapa mahir kerana rutin kerja aku dan rakan-rakan yang lain adalah bersifat teknikal. Bayangkan jika kau belajar IT masa di universiti dahulu, buat "programming" dan "coding" pada sistem perisian komputer tetapi bila masuk alam pekerjaan, kau disuruh untuk membina dan memuatnaik sistem perisian komputer yang berkaitan dengan bidang kuasa serta kerja syarikat sahaja. Sah-sah akan menganga, kan? Sebagai contoh, syarikat tempat aku bekerja adalah berkaitan dengan kewangan dan insuran, terlalu banyak perkara dan benda teknikal yang perlu dipelajari untuk mengetahui selok belok perniagaan sebelum berjaya membangunkan sesuatu perisian. Kalau tidak, sistem yang dihasilkan tidak akan memberikan apa-apa manfaat kepada pengguna.

Aku tak banyak merungut, hanya mengikut sahaja kehendak mereka-mereka ini. Bukan aku nak sibuk-sibuk kerja mereka tetapi kalau aku tak tolong, siapa lagi yang nak tolong? Perkara begini, bukan boleh di bawa main-main. Banyak benda penting perlu diberi perhatian bagi mengelak dari masalah timbul di masa hadapan.

3 hari, 3 malam aku mengadap skrin komputer pejabat. Kadang-kadang, sampai berpinar biji mata. Ada sekali tu, aku terlupa nak jamah makan tengahari! Begitulah kusyuknya aku ketika meneliti isi kandung perisian komputer tu. Aku tidak mahu melakukan sebarang kesilapan takut nanti ada pengguna yang bising pula!

Setelah berhempas pulas siang dan malam, akhirnya aku berjaya juga untuk "wrap up" tugasan yang diberikan. Secara kesimpulannya aku dapati, banyak kesilapan yang dilakukan oleh orang IT terdahulu yang tidak diperbetulkan sehingga ke hari ini. Aku rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat dan memperbetulkan keadaan. Moga-moga usaha aku ini diberkati olehNya.

Sedar atau tidak, sekarang dah masuk tengah bulan Januari 2015. Begitu pantas masa berlalu tanpa kita sedari. Aku bersyukur kerana satu daripada rancangan (azam) aku tahun ini telah berjaya dipenuhi. Sudah tiba masanya untuk mengorak langkah menunaikan azam yang lain pula.

Moga ia akan terlaksana sebelum hujung tahun ini, InsyaAllah.


Nota kaki:-
Bila tengok perisian komputer pejabat, ia mengingatkan aku kepada seorang sahabat baik yang aku kenali di alam maya ini. Beliau merupakan pegawai IT dan Aplikasi yang membangunkan sistem perisian Lembaga Zakat Selangor.

Membaca kisah dan cerita di blog beliau banyak memberikan aku sumber inspirasi walaupun hakikan sebenar, aku bukan bekerja di dalam bidang itu. Orang kata, "kalau minat, apa salahnya kan?"

0 comment:

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.