Tuesday 6 January 2015

Hari ini, merupakan hari yang penuh dengan dugaan serta cabaran. Memandangkan ia adalah hari pertama dalam minggu bekerja, bagi sesetengah orang pasti akan mengundang rasa malas.

Berlainan dengan aku, seawal jam 6.45 pagi aku sudah melangkah masuk ke ruang pejabat untuk memulakan kerja. Tatkala ramai rakan-rakan aku yang masih lena dibuai mimpi, jari jemariku sudah ligat menekan butang papan kekunci komputer.

Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan hari ini, oleh itu aku tidak seharusnya membuang masa. Kadang kala aku merasakan bahawa aku tidak mempunyai waktu yang cukup!. Terasa seperti sekejap sangat. Jika aku mempunyai kuasa ajaib, hendak sahaja aku petik jari memberhentikan waktu buat seketika.

Tanpa aku sedari, sedang asyik dan leka bekerja, jam sudah menunjukkan hampir pukul 8.00 pagi. Masya Allah! Aku belum bersarapan dan mengalas perut lagi. Kalau mengikut kontrak kerja, jam 8.00 itu adalah waktu permulaan kerja aku. Kelam kabut aku turun ke kafeteria membeli apa yang sempat untuk mengalas perut.

Kelonggaran yang diberikan oleh pihak pengurusan dan pejabat aku sedikit sebanyak melegakan. Namun sejak kebelakangan ini, aku jarang dapat 'menikmati' waktu untuk diriku sendiri. Ketika minggu bekerja, acap kali aku masuk kerja awal dan pulang tengah lewat malam.

Walaupun hari ini merupakan hari bekerja, setelah jam sudah melewati waktu Maghrib, aku terasa letih dan penat yang teramat sangat. Bayangkanlah, hampir satu hari mengadap skrin komputer. Tu belum campur aku berlari kehulu kehilir dan menjawab panggilan telefon pelanggan. Hari ini sahaja, telefon di atas meja tidak putus-putus berdering. Aku faham, ramai yang menelefon untuk mengadu domba masalah yang mereka hadapi. Bencana yang baru menimpa mereka terlalu hebat untuk ditelan. Sebagai seorang insan, aku memahami perasaan mereka jadi akanku usahakan sebaik mungkin untuk membantu.

Jarang sekali aku menghadapi masalah di tempat kerja. Cabaran demi cabaran berjaya aku tempuhi. Syukur, alhamdulillah. Namun hari ini, agak sedikit berbeza. Walaupun tiada apa yang serius berlaku, aku merasakan seolah olah kehabisan daya dan tenaga. Mungkin ini berpunca dari stress yang tidak terkawal. Lagipun, tugas yang disandang aku memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Kawalan emosi dan berfikiran terbuka adalah kunci segala-galanya.

Kadangkala, aku kasihan dengan beberapa orang rakan sekerjaku. Mereka bukannya orang baru. Rata-ratanya, telah berumur dan berumah tangga. Tetapi, aku seringkali berasa hairan kerana ada di antara mereka gagal untuk mempamerkan prestasi kerja yang baik. Setiap kerja perlu disemak dan diperiksa terlebih dahulu. Jika orang baru, tidak mengapa juga. Ni dah bertahun-tahun kerja, masih begitu juga.

Mungkin sebab kerana sikap dan motivasi terhadap kerja sudah mula luntur. Minat dan kesungguhan telah lenyap sama sekali dan mungkin kerana sudah bosan dengan keadaan sekitar yang berubah-ubah setiap kali. Faktor hubungan sesama rakan juga mungkin mendorong kepada sitausi begini. Seringkali juga mereka mengomel bersendirian, ada juga yang secara berdepan. Bila dikaji secara terperinci, aku rasa aku dapat tangkap yang mereka cuba sampaikan.

Namun begitu, aku hanya mampu mendengar (walaupun kadang-kadang, kepala jadi pening dan sakit akibat terlalu 'mendengar' luahan hati mereka ini). Tapi apakan daya, kita juga manusia biasa yang mempunyai kelemahan dan tahap penerimaan tertentu. Sampai satu ketika, kita juga tidak boleh menerima apa yang cuba disampaikan.

Kesimpulannya, kita seharusnya meneliti dan berfikiran positif setiap masa. Walaupun tekanan itu lumrah dan ada di mana-mana, tetapi tidak bermakna ia tidak boleh diatasi. Pokok pangkalnya sama ada diri kita bijak untuk menanganinya.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan buat diriku dalam menghadapi cabaran di masa akan datang, InsyaAllah.

0 comment:

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.