Saturday 3 January 2015

Assalamualaikum.

Semua umat Islam di dunia maklum bahawa tarikh 12 Rabiul Awwal merupakan satu tarikh keramat dalam kalendar Hijr.

Pada hari bersejarah ini, lahirlah seorang insan agung; junjungan besar, Nabi Muhammad SAW. Kelahiran baginda membawa rahmat kepada seluruh umat manusia.

Mengikut sejarah Islam, hari keputeraan Nabi Muhammad SAW jatuh pada hari Isnin (hadith Riwayat Muslim, 8/25) atau bersamaan dengan 23 April 571 mengikut perkiraan kalendar Masehi. Baginda adalah nabi yang terakhir diutuskan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Tapak kelahiran baginda kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai 'Maulid Nabi'.

Setiap tahun, sudah menjadi lumrah umat Islam akan menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan majlis untuk memperingatinya seperti mengadakan acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.

Memuliakan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW membawa kepada banyak kelebihan dan rahmat. Bayangkan, hanya dengan berniat sahaja untuk mengadakan Maulud Nabi, sudahpun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya, bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan satu doa dan dikira sebagai amal soleh.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah SWT akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.



Sumber maklumat:  ms.wikipedia.org (Maulidur Rasul)
Imej:  Tidak Diketahui
 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.