Tuesday, 13 January 2015

photo 5976b866-486c-41b2-ac02-15cfb3a5ba3e.jpg

Semua yang hidup, pasti akan merasai mati. Apa yang berbeza ialah masa/waktu dan tempat di mana kita akan dijemput olehNya.

Renung-renungkan. Sudahkah anda bersedia untuk bertemu dengan Malaikat Maut? Atau anda masih lagi asyik dengan hal dunia yang penuh dengan tipu daya ini?

Salam takziah buat rakanku, Fadil Noor bin Mohd Yasim atas pemergian bonda tercinta pagi tadi.

Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan orang yang beriman.


Monday, 12 January 2015

Jumlah hari dalam seminggu 7 hari

Malah Allah SWT memuliakan dengan ketujuh-tujuh hari itu dengan para Nabi iaitu Allah memuliakan Nabi Musa AS dengan hari Sabtu, Nabi Isa bin Maryam AS dengan hari Ahad, Nabi Daud AS dan Nabi Syith AS dengan hari Isnin, Nabi Sulaiman AS dengan hari Selasa, Nabi Salleh AS dengan hari Rabu, Nabi Yaakub AS dan Nabi Ibrahim AS dengan hari Khamis dan Nabi Muhammad SAW dan umatnya dengan hari Jumaat.

Rukun solat ke-7 ialah sujud. Untuk sujud menjadi sah, hendaklah 7 anggota tubuh mencecah ke bumi sewaktu sujud iaitu dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua kaki.


Allah telah menciptakan 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi.

Allah S.W.T. telah menghiasi padang yang lapang dengan TUJUH lapis bumi. Firman Allah SWT di dalam Surah At-Talaq ayat yang ke-12 yang bermaksud:

"Allah yang menciptakan TUJUH petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu."

Kemudian Allah S.W.T. menghiasi bumi itu dengan TUJUH lautan. Sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Luqman ayat yang ke-27 yang bermaksud:

"Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tintanya), dengan dibantu kepadanya TUJUH lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Allah S.W.T. telah menghiasi Al-Quran dengan TUJUH surah yang panjang, kemudian munghiasinya pula dengan TUJUH ayat pembuka kitab (faatihatul-kitaab). Firman-Nya di dalam Surah Al-Hijr ayat yang ke-87 bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) TUJUH ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya"


Allah juga menciptakan 7 pintu syurga dan 7 pintu neraka

Allah S.W.T. telah menghiasi neraka dengan TUJUH tingkat iaitu Jahannam, Sa'ier, Saqar, Jahiim, Hurhamah, Ladhaa dan Hawiyah. Kemudian Allah menghiasinya dengan TUJUH pintu, sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Al-Hijr ayat yang ke-44 bermaksud:

"Ia mempunyai TUJUH pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)"

Surat Al Hijr Ayat 87:-
“Dan Sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al Quran yang agung.”

Dalam Matematik pula, nombor 7 digelar sebagai 'safe prime', iaitu sebagai penyelesaian kepada kebanyakan permasalahan kira-kira yang melibatkan bilangan genap, polinomial, vektor dan faktor sepunya. Heptagon juga mempunyai 7 sisi yang sekata.

  • Kalimah Syahadat dalam "Laa Ilaaha ilaa Allaah, Muhammad rasul Allah" terdiri dari 7 kata
  • Al-Fatihah yang merupakan penghulu segala surah, juga terdiri dari 7 ayat termasuk Bismillah.
  • 7 huruf tiada dalam surah Al-Fatihah
  • 7 takbir dalam rakaat pertama solat Hari Raya
  • Ayat tentang kiamat disebut dalam Al-Quran sebanyak 77 kali
  • Raja mesir bermimpi dengan 7 perkara.
  • Kanak-kanak diperintahkan solat semasa berumur 7 tahun
  • Tawaf mengelilingi Kaabah 7 kali, Saie juga 7 kali, lontaran di jamrah juga 7 biji batu
  • Dalam Al-Quran 7 tempat sujud
  • Elekron hanya mencapai ke tahap ke 7 sahaja
  • Pelangi mempunyai 7 warna
  • Terdapat 7 atom karbon dalam setiap molekol heptana
  • Angka 7 juga adalah nilai 'neutral' antara sifat asid dan alkali.
  • Atom di dalam nitrogen diwakili dengan nombor 7
  • Tulang belakang leher manusia yang menyambungkan kepada mempunyai 7 'cervical vertebrate'
Banyak lagi rahsia angka 7 ini. Ia mengandungi hikmah tersembunyi yang tidak mampu diterjemahkan oleh akal.

Wallahualam.

Sumber: E-mail (tidak diketahui)

Sunday, 11 January 2015

Bersua kembali.

Syukur, alhamduillah. Akhirnya, sempat juga aku menyiapkan tugasan mengemaskini maklumat dan data dalam sistem komputer pejabat. Proses yang biasa dilakukan oleh Jabatan Informasi dan Teknologi ini telah di'serahkan' kepada aku buat sementara waktu memandangkan mereka tidak berapa pasti apa yang perlu dilakukan.

Seperti sedia maklum, banyak perkara yang mereka tak berapa mahir kerana rutin kerja aku dan rakan-rakan yang lain adalah bersifat teknikal. Bayangkan jika kau belajar IT masa di universiti dahulu, buat "programming" dan "coding" pada sistem perisian komputer tetapi bila masuk alam pekerjaan, kau disuruh untuk membina dan memuatnaik sistem perisian komputer yang berkaitan dengan bidang kuasa serta kerja syarikat sahaja. Sah-sah akan menganga, kan? Sebagai contoh, syarikat tempat aku bekerja adalah berkaitan dengan kewangan dan insuran, terlalu banyak perkara dan benda teknikal yang perlu dipelajari untuk mengetahui selok belok perniagaan sebelum berjaya membangunkan sesuatu perisian. Kalau tidak, sistem yang dihasilkan tidak akan memberikan apa-apa manfaat kepada pengguna.

Aku tak banyak merungut, hanya mengikut sahaja kehendak mereka-mereka ini. Bukan aku nak sibuk-sibuk kerja mereka tetapi kalau aku tak tolong, siapa lagi yang nak tolong? Perkara begini, bukan boleh di bawa main-main. Banyak benda penting perlu diberi perhatian bagi mengelak dari masalah timbul di masa hadapan.

3 hari, 3 malam aku mengadap skrin komputer pejabat. Kadang-kadang, sampai berpinar biji mata. Ada sekali tu, aku terlupa nak jamah makan tengahari! Begitulah kusyuknya aku ketika meneliti isi kandung perisian komputer tu. Aku tidak mahu melakukan sebarang kesilapan takut nanti ada pengguna yang bising pula!

Setelah berhempas pulas siang dan malam, akhirnya aku berjaya juga untuk "wrap up" tugasan yang diberikan. Secara kesimpulannya aku dapati, banyak kesilapan yang dilakukan oleh orang IT terdahulu yang tidak diperbetulkan sehingga ke hari ini. Aku rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat dan memperbetulkan keadaan. Moga-moga usaha aku ini diberkati olehNya.

Sedar atau tidak, sekarang dah masuk tengah bulan Januari 2015. Begitu pantas masa berlalu tanpa kita sedari. Aku bersyukur kerana satu daripada rancangan (azam) aku tahun ini telah berjaya dipenuhi. Sudah tiba masanya untuk mengorak langkah menunaikan azam yang lain pula.

Moga ia akan terlaksana sebelum hujung tahun ini, InsyaAllah.


Nota kaki:-
Bila tengok perisian komputer pejabat, ia mengingatkan aku kepada seorang sahabat baik yang aku kenali di alam maya ini. Beliau merupakan pegawai IT dan Aplikasi yang membangunkan sistem perisian Lembaga Zakat Selangor.

Membaca kisah dan cerita di blog beliau banyak memberikan aku sumber inspirasi walaupun hakikan sebenar, aku bukan bekerja di dalam bidang itu. Orang kata, "kalau minat, apa salahnya kan?"

Saturday, 10 January 2015

Selamat sejahtera buat rakan-rakan sekalian.

Saya memang pasti, anda pernah (sekurang-kurangnya sekali) pergi ke tandas di stesen minyak di tempat anda atau di mana-mana jalan/lebuh raya bukan?

Ketika hendak ke tandas, pastinya di dalam fikiran anda, anda akan membayangkan betapa kotor dan jijiknya tandas tersebut. Lebih-lebih lagi kalau stesen minyak tersebut kerap kali dikunjungi umat manusia yang hendak mengisi minyak.

Bau hancing dan kotor membuatkan ada di antara kita berasa loya sehingga tidak tahan. Itulah lumrah kalau kita bercakap mengenai tandas awam di Malaysia ini.

Tetapi percayakah anda bahawa ada juga stesen minyak yang menyediakan tandas awam "special" untuk pengunjungnya? Dan tandas awam ini tidak seperti yang kita jangkakan kerana ianya memang sangat-sangat istimewa! Jika kita masuk, rasanya kita tidak kesah untuk menghabiskan masa berjam-jam di dalamnya.

Apa yang istimewa ialah tandas ini terletak di stesen minyak Shell di salah sebuah negara yang bukannya dikategorikan sebagai negara maju atau membangun. Aneh, bukan? Kalau negara dunia ke-3 pun sudah ada tandas awam bertaraf 5 bintang seperti ini, apa nak di kata pada kita-kita yang sememangnya duduk di dalam negara maju.

Renung-renungkan....


Dari maklumat, tandas awam ini terletak di salah satu kawasan di Filipina. Sejauh mana maklumat ini benar, tidak dapat dipastikan. Tapi yang pasti, ianya adalah tandas awam di stesen minyak Shell. Hebat! 

Tuesday, 6 January 2015

Hari ini, merupakan hari yang penuh dengan dugaan serta cabaran. Memandangkan ia adalah hari pertama dalam minggu bekerja, bagi sesetengah orang pasti akan mengundang rasa malas.

Berlainan dengan aku, seawal jam 6.45 pagi aku sudah melangkah masuk ke ruang pejabat untuk memulakan kerja. Tatkala ramai rakan-rakan aku yang masih lena dibuai mimpi, jari jemariku sudah ligat menekan butang papan kekunci komputer.

Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan hari ini, oleh itu aku tidak seharusnya membuang masa. Kadang kala aku merasakan bahawa aku tidak mempunyai waktu yang cukup!. Terasa seperti sekejap sangat. Jika aku mempunyai kuasa ajaib, hendak sahaja aku petik jari memberhentikan waktu buat seketika.

Tanpa aku sedari, sedang asyik dan leka bekerja, jam sudah menunjukkan hampir pukul 8.00 pagi. Masya Allah! Aku belum bersarapan dan mengalas perut lagi. Kalau mengikut kontrak kerja, jam 8.00 itu adalah waktu permulaan kerja aku. Kelam kabut aku turun ke kafeteria membeli apa yang sempat untuk mengalas perut.

Kelonggaran yang diberikan oleh pihak pengurusan dan pejabat aku sedikit sebanyak melegakan. Namun sejak kebelakangan ini, aku jarang dapat 'menikmati' waktu untuk diriku sendiri. Ketika minggu bekerja, acap kali aku masuk kerja awal dan pulang tengah lewat malam.

Walaupun hari ini merupakan hari bekerja, setelah jam sudah melewati waktu Maghrib, aku terasa letih dan penat yang teramat sangat. Bayangkanlah, hampir satu hari mengadap skrin komputer. Tu belum campur aku berlari kehulu kehilir dan menjawab panggilan telefon pelanggan. Hari ini sahaja, telefon di atas meja tidak putus-putus berdering. Aku faham, ramai yang menelefon untuk mengadu domba masalah yang mereka hadapi. Bencana yang baru menimpa mereka terlalu hebat untuk ditelan. Sebagai seorang insan, aku memahami perasaan mereka jadi akanku usahakan sebaik mungkin untuk membantu.

Jarang sekali aku menghadapi masalah di tempat kerja. Cabaran demi cabaran berjaya aku tempuhi. Syukur, alhamdulillah. Namun hari ini, agak sedikit berbeza. Walaupun tiada apa yang serius berlaku, aku merasakan seolah olah kehabisan daya dan tenaga. Mungkin ini berpunca dari stress yang tidak terkawal. Lagipun, tugas yang disandang aku memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Kawalan emosi dan berfikiran terbuka adalah kunci segala-galanya.

Kadangkala, aku kasihan dengan beberapa orang rakan sekerjaku. Mereka bukannya orang baru. Rata-ratanya, telah berumur dan berumah tangga. Tetapi, aku seringkali berasa hairan kerana ada di antara mereka gagal untuk mempamerkan prestasi kerja yang baik. Setiap kerja perlu disemak dan diperiksa terlebih dahulu. Jika orang baru, tidak mengapa juga. Ni dah bertahun-tahun kerja, masih begitu juga.

Mungkin sebab kerana sikap dan motivasi terhadap kerja sudah mula luntur. Minat dan kesungguhan telah lenyap sama sekali dan mungkin kerana sudah bosan dengan keadaan sekitar yang berubah-ubah setiap kali. Faktor hubungan sesama rakan juga mungkin mendorong kepada sitausi begini. Seringkali juga mereka mengomel bersendirian, ada juga yang secara berdepan. Bila dikaji secara terperinci, aku rasa aku dapat tangkap yang mereka cuba sampaikan.

Namun begitu, aku hanya mampu mendengar (walaupun kadang-kadang, kepala jadi pening dan sakit akibat terlalu 'mendengar' luahan hati mereka ini). Tapi apakan daya, kita juga manusia biasa yang mempunyai kelemahan dan tahap penerimaan tertentu. Sampai satu ketika, kita juga tidak boleh menerima apa yang cuba disampaikan.

Kesimpulannya, kita seharusnya meneliti dan berfikiran positif setiap masa. Walaupun tekanan itu lumrah dan ada di mana-mana, tetapi tidak bermakna ia tidak boleh diatasi. Pokok pangkalnya sama ada diri kita bijak untuk menanganinya.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan buat diriku dalam menghadapi cabaran di masa akan datang, InsyaAllah.

Monday, 5 January 2015

Baru-baru ini, aku telah menerima khabar gembira dari teman baikku. Tiada apa yang aku harapkan selain daripada perkhabaran bahawa dia bakal menimang cahaya mata.

Ternyata, sangkaan aku tepat!. Dia memaklumkan padaku yang isterinya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Syukur, alhamdulillah. Tiada kata yang dapat aku luahkan ketika itu selain memanjatkan rasa kesyukuran yang teramat sangat.

Aku tumpang gembira untuknya. Memang aku tidak menyangka, akhirnya dia berjaya membina sebuah keluarga yang bahagia. Ketika zaman sekolah dahulu, ramai yang memperlekehkan kewibawaan dirinya untuk mengharungi masa hadapan. Maklumlah, orang kita memang suka memandang negatif tentang beberapa perkara dalam aspek kehidupan. Ada diantara mereka memang tidak pernah memahami dan memandang jelek kepada perkara begini.

Walaupun dia pada asalnya mempunyai sifat yang 'berbeza' dari orang lain, namun ianya tidak sedikit melunturkan semangat dirinya untuk terus maju kehadapan. Dia sentiasa berusaha gigih untuk membela nasib diri dan keluarganya. Alhamdulillah, Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Setiap langkah yang diatur, setiap usaha yang dijalankan membuahkan hasil. Berkat segala usaha serta kesabaran inilah dia berjaya mengharungi setiap liku-liku kehidupan sehingga kini.

Aku tabik 'spring' dengan dia! Walaupun dia bukan datang dari keluarga yang berada, mempunyai banyak kekurangan dan sebagainya, namun dia berjaya menjejakkan kaki ke menara gading malah, mampu untuk menjawat jawatan yang tinggi dalam kerajaan. Dia mampu buktikan pada semua bahawa insan 'istimewa' sepertinya tidak pernah berbeza dengan orang lain; mampu membina kejayaan atas usaha sendiri. Dahulu, orang mencaci dan mencerca, kini tidak lagi. Ramai yang 'buka mata' bahawa dia bukan sekadar apa yang mereka fikirkan.

Setiap yang dilakukan, dibuat dengan hati ikhlas. Inilah hasilnya, kejayaan yang tiada tolok bandingnya. Dan setelah sekian lama, akhirnya dia berjaya mengharungi setiap dugaan. Kini, dia dikurniakan seorang bidadari cantik buat peneman melewati bahtera kehidupan; seorang insan yang baik budi pekerti dan menerima dirinya seadanya. Alhamdulillah!.

Saban hari, tidak putus aku berdoa agar dia dikurniakan kebahagiaan dalam menjalani kehidupan berumah tangga. Ikatan yang terbina atas dasar cinta dan keikhlasan diperkuatkan dengan kehadiran cahayamata yang sangat comel. Emil si empunya nama, selamat dilahirkan pada 29 Disember yang lepas pada jam 5.05 petang. Semuanya telah selamat dan Emil kini sihat disamping ibu dan juga ayahnya.


Aku ada bertanya pada dia (teman baikku), bagaimanakah perasaan dia ketika ini? Jawapan yang diberikan amat mudah; lega dan tidak terkata. Pengalaman menyambut kelahiran bayi baginya adalah detik yang tidak boleh dilupakan. Kini, dia memahami, mengapa kita sebagai anak harus menghargai pengorbanan seorang ibu ketika melahirkan kita. Kesakitannya, hanya Allah sahaja yang tahu!. Apabila bergelar ayah, banyak persiapan perlu dibuat terutamanya dari segi mental dan fizikal. Bayangkan bayi yang baru lahir, semestinya memerlukan perhatian yang lebih. Berjaga waktu tengah malam itu sesuatu yang biasa bagi ibubapa yang baru menimang cahaya mata.

Alhamdulillah, semoga Emil sihat dan membesar sebagai anak yang soleh. Doaku kepada Allah, moga dia dikurniakan rahmat serta kebaikan di dunia dan akhirat. Moga dia menjadi insan soleh yang dapat berbakti kepada kedua ibubapanya, InsyaAllah.

Sunday, 4 January 2015

Dalam konteks kehidupan moden sekarang, banyak kita dapati mereka yang pandai dan bijak bercakap, pandai memutarbelitkan keadaan sehingga kesalahan mereka ditutup rapat kesalahan orang lain diperbesar-besarkan.

Ada juga orang yang pendiam, tak pandai bercakap atau berhujjah menjadi mangsa orang lain yang pandai memanipulasikan kelemahan mereka. Kelemahan mereka diperbesar-besarkan dan mereka diracun sebagai “figure yang negative” kepada masyarakat.

Dalam dunia ini, kita terjumpa bermacam-macam cerita dan mengalami bermacam-macam kisah. Semuanya pengalaman berguna yang patut diambil iktibar dan pengajaran.

Ada manusia baik dan manusia yang jahat. Kadang-kadang manusia yang baik itu disalah anggap sebagai jahat. Dan ada juga yang jahat itu, pandai berpura-pura dan berlakon sehingga dia nampak seperti baik dan mulia.

KISAH HABIL &  QABIL
Ada orang kata, kalau seseorang itu berasal dari tempat yang baik, suci, mulia dan terhormat, tentu peribadinya juga baik, suci, mulia dan terhormat.

Betulkah begitu?

Bolehkah kita kata dia itu manusia baik, perangainya baik?

Saya tak mahu menjawab secara langsung. Mari kita tengok sejarah Qabil & Habil sebagai rujukan. Qabil itu anak sulung Nabi Adam. Dia bersama pasangan kembar perempuannya dilahirkan dalam syurga.

Kemudian, Habil dan saudara perempuan kembarnya dilahirkan di bumi semasa Nabi Adam dan Siti Hawa diusir dari syurga.

Dipendekkan cerita, Qabil membunuh Habil kerana sifat dengkinya tak dapat beristerikan Iqlima yang cantik jelita. Dia tetap mahu berkahwin dengan Iqlima, kembarnya dan tak mahu sama sekali berkahwin dengan Labuda, kembar Habil yang dijodohkan tuhan dengannya.

Sekali pun dia tahu korbannya (dia meletak kambingnya yang kurus) tidak diterima Tuhan sebagai syarat untuk mengahwini Iqlima, dia tetap berkeras juga.

Dia rela menentang keputusan Tuhan dan rela membunuh adiknya yang tak berdosa.

BUKTI QAT’IE: Mari kita ikuti terjemahan Al-Quran dari surah Al-Maidah, ayat (27-30) untuk memahami perkara ini.

“Ceritakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka itu dengan sebenarnya akan riwayatnya dua orang anak Nabi Adam, yaitu keduanya berkorban kepada Allah. Maka Allah menerima korban salah seorang di antara keduanya. Allah tiada menerima daripada lainnya. Seraya katanya, “Demi Allah, saya akan membunuh engkau”.

Maka jawab Habil. Sesungguhnya Allah menerima korban daripada orang-orang yang takut. Demi Allah, jika engkau memukul aku dengan tangan kau kerana hendak membunuhku, nescaya aku tidak akan membalas pukulan engkau itu. Kerana aku takut kepada Allah, tuhan semesta alam. Aku mengkehendaki supaya engkau kembali dengan membawa dosa membunuhku berserta dosamu sendiri. Maka adalah engkau termasuk orang yang masuk neraka. Demikianlah balasan orang-orang yang aniayai”.

Tetapi hawa nafsu Qabil selalu hendak membunuh saudaranya. Lalu dibunuhnya. Maka adalah dia termasuk golongan yang rugi”

KESIMPULAN 1: Manusia yang baik itu adalah yang lurus hati dan boleh menerima keputusan tuhan dengan reda. Manusia jahat itu adalah dengki dan tidak merasa senang dengan nikmat yang tuhan beri kepada orang lain. Walaupun Qabil dilahirkan dalam syurga, tetapi sifat dengkinya menjadikan dia manusia jahat.

KESIMPULAN 2: Bila manusia dikuasai oleh syaitan dan nafsu amarah yang jahat, manusia yang keluar dari satu rahim (maksudnya adik beradik) pun boleh berkelahi, benci-membenci dan busuk-membusuk sesama mereka. Mereka lupa tentang ikatan perhubungan mereka, sebaliknya menjulang rasa ego dan nafsu jahat mereka. Orang semacam ini adalah manusia jahat lagi bodoh.

KESIMPULAN 3: Jangan lihat kebaikan manusia daripada kata-katanya, tetapi lihatlah daripada perbuatannya. Manusia yang jahat ini biasanya pandai bermanis muka. Kalau agak ragu dan samar, siasatlah sehingga bertemu kebenaran.

KESIMPULAN 4: Manusia yang bertunjangkan hawa-nafsu memang suka menentang dan membantah, sekalipun kata-kata itu datangnya dari Tuhan.

KESIMPULAN 5: Meskipun Habil menanam mayat Qabil selepas pembunuhannya, namun perbuatannya bukanlah tiket untuk dia dipanggil “manusia baik”. Manusia yang baik itu adalah manusia yang patuh kepada tuhan.

KISAH NABI YUSUF
Kemudian mari kita melihat kisah Nabi Yusuf yang menyayat hati. Nabi Yaakub A.S ada 2 orang isteri. Dari isteri pertama, dia mendapat 10 orang anak lelaki. Manakala dari isteri kedua, dia mendapat Yusuf dan adiknya, Bunyamin.

Kesemua 10 orang abangnya sangat dengki dan benci kepadanya. Kenapa begitu?

Mereka berkumpul dan merancang untuk membunuhnya. Pasal apa? Rupa-rupanya kisah manusia baik, manusia jahat sudah ada semenjak dulu lagi. Ia sebuah kisah turun-temurun yang didorong oleh nafsu jahat di dalam dada.

10 orang abangnya membawa Yusuf keluar kota. Nun dibawa ke padang pasir yang jauh dari ibubapa.

Mereka merancang membunuhnya. Alasan mereka, Nabi Yaakub lebih sayang kepadanya daripada mereka.

Seorang daripada mereka memberi cadangan. “Tolak sahaja Yusuf itu ke dalam perigi buta. Kemudian kita bawa balik hati serigala (yang kononnya membunuh Yusuf) sebagai bukti kepada ayah bonda”.

Kenapa adik beradiknya begitu jahat dan dengki kepadanya? Apa salah Yusuf? Apa dosanya?

BUKTI QAT’IE: Mari kita dengarkan terjemahan dari Al-Quran, surah Yusuf, ayat (7-10) berkenaan perkara ini.

“Sesungguhnya adalah cerita Yusuf dan saudara-saudaranya itu, menjadi keterangan bagi orang-orang yang bertanya.

Ketika mereka bercakap sesama saudaranya, katanya, “Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) itu lebih dicintai oleh bapa kita daripada kita ini, sedangkan kita banyak (lebih banyak tenaga dan kerja). Sebenarnya bapa kita di dalam kesesatan yang nyata”.

“Bunuhlah Yusuf itu, atau buangkanlah ia ke negeri yang jauh, supaya bapa mengasihimu. Kemudian itu, kamu menjadi orang-orang yang baik”

Berkata salah seorang daripada mereka itu (bernama Yahuda): “Janganlah kamu bunuh Yusuf itu, tetapi lemparkanlah sahaja ke dalam sumur (perigi), nanti tentu akan diambil oleh orang yang lalu lalang, jika kamu suka memperbuat yang demikian”.

KESIMPULAN 1: Awasilah orang-orang yang pandai berbicara. Mulutnya manis bagaikan gula, sedangkan hatinya jahat bagaikan serigala. Ketahuilah, taqwa (kebaikan) bukan terletak di mulut, tetapi pada hati.

KESIMPULAN 2: Orang yang dengki boleh berpakat di antara mereka untuk merosakkan orang lain. Walaupun mereka berasal dari satu rahim (adik beradik), namun mereka selalu kalah kepada nafsu dan syaitan.

KESIMPULAN 3: Mereka pandai membuat helah dan lakonan, sedangkan Tuhan lebih hebat daripada mereka. Tunggulah makar (rencana) Allah terhadap mereka.

KESIMPULAN 4: Abang-abangnya kemudian memelihara Nabi Yaakub dan isterinya. Perbuatan “memelihara” itu bukanlah tiket untuk mereka bertukar menjadi manusia baik dalam peristiwa penganiayaian terhadap Yusuf.

KESIMPULAN 5: Tuhan kemudian menjadikan Yusuf lebih mulia daripada mereka. Tertolaklah rencana jahat mereka.


KONTEKS KEHIDUPAN MODEN
Dalam konteks kehidupan moden sekarang, banyak kita dapati mereka yang pandai dan bijak bercakap, pandai memutarbelitkan keadaan sehingga kesalahan mereka ditutup rapat dan kesalahan orang lain diperbesar-besarkan.

Ada juga orang yang pendiam, tak pandai bercakap atau berhujjah menjadi mangsa orang lain yang pandai memanipulasikan kelemahan mereka. Kelemahan mereka diperbesar-besarkan dan mereka diracun sebagai “figure yang negative” kepada masyarakat.

Sumber asal: E-mel (tidak diketahui)

Saturday, 3 January 2015

Assalamualaikum.

Semua umat Islam di dunia maklum bahawa tarikh 12 Rabiul Awwal merupakan satu tarikh keramat dalam kalendar Hijr.

Pada hari bersejarah ini, lahirlah seorang insan agung; junjungan besar, Nabi Muhammad SAW. Kelahiran baginda membawa rahmat kepada seluruh umat manusia.

Mengikut sejarah Islam, hari keputeraan Nabi Muhammad SAW jatuh pada hari Isnin (hadith Riwayat Muslim, 8/25) atau bersamaan dengan 23 April 571 mengikut perkiraan kalendar Masehi. Baginda adalah nabi yang terakhir diutuskan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Tapak kelahiran baginda kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai 'Maulid Nabi'.

Setiap tahun, sudah menjadi lumrah umat Islam akan menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan majlis untuk memperingatinya seperti mengadakan acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.

Memuliakan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW membawa kepada banyak kelebihan dan rahmat. Bayangkan, hanya dengan berniat sahaja untuk mengadakan Maulud Nabi, sudahpun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya, bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan satu doa dan dikira sebagai amal soleh.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah SWT akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.



Sumber maklumat:  ms.wikipedia.org (Maulidur Rasul)
Imej:  Tidak Diketahui

Friday, 2 January 2015

Iman...

Apakah yang dimaksudkan dengan iman dan apa kaitannya dengan kita, umat Islam?

Bagaimanakah tahap keimanan seseorang itu dinilai dan adakah dengan menggunakan skala biasa dapat memberikan jawapan kepada kita?

Iman dalam erti kata yang sebenar ialah aman iaitu tiada rasa takut. Perkataan iman itu sendiri berasal dari kata dasar "al-amn". Pengertian iman dari segi istilah ialah mempercayai Allah SWT dan rasul-Nya dengan pengucapan lidah dan kepercayaan dalam hati tanpa rasa syak dan ragu.

Iman seseorang tidak boleh dilihat atau dinilai dengan pengiraan atau mata kasar kerana ianya bersifat subjektif. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat menghitung tahap serta nilai keimanan seseorang itu.

Seperti juga perkara yang lain, iman seseorang juga boleh bertambah atau berkurang. Kuat atau lemahnya iman seseorang itu bergantung kepada cara dan bagaimana dia melalui setiap liku kehidupannya seharian. Sekiranya seseorang itu menitik-beratkan nilai sesebuah keimanan, dia pasti akan melakukan perkara-perkara baik serta menjalankan setiap satu perintah yang diturunkan oleh Allah SWT dan rasul-Nya.

Sebagai contoh, sebagai umat Islam yang taat kepada perintah Allah SWT, sudah menjadi rukun bahawa solat 5 waktu itu adalah WAJIB dilaksanakan kecuali mereka-mereka yang 'tidak boleh melaksanakannya'. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menunaikan solat 5 waktu itu bila tiba masanya kerana meninggalkannya bukan sahaja menjadi penyebab dosa, malah ia akan melemahkan keimanan serta meruntuhkan tiang agama.

Selain dari itu, keimanan juga akan menjadi lemah apabila kita terjerumus dengan hal-hal duniawi yang sungguh melekakan. Kita jadi alpa dengan status keimanan kita bila kita makin kerap mengejar dunia. Kita sendiri sedia maklum, terlalu banyak "sosial life" yang boleh menjadikan iman kita makin lemah tanpa kita sedar. Tak kiralah sama ada kegiatan sosial itu atas sebab kerja.

Antara tanda-tanda Iman kita kian lemah:


1) Melakukan dosa tanpa rasa bersalah - mungkin kita rasa itu cuma perkara kecil dan remeh. Contohnya, seorang pelakon yang membuka hijabnya semata-mata nak menjayakan watak yang diberi.

2) Rasa susah nak bangun pagi untuk melakukan solat, tapi boleh bangun pagi sebab ada tugas penting atau perlu bertugas di luar.

3) Tidak khusyuk ketika solat - masa sedang solat, otak ligat memikirkan hal dunia.

Asyik merungut dengan ketentuan takdir - bila sesuatu berlaku padanya, dia salahkan Allah, tak percayakan tuhan. Kata Allah tak sayang dia, tak tolong dia.

4) Tak sabar terima ujian - mengeluh bila sesuatu terjadi padanya. Menyalahkan semua yang berkaitan. Melepaskan geram pada orang yang ada kat sekelilingnya.

5) Sentiasa sibuk dengan urusan dunia sahaja - mereka akan dipandang hina jika tiada harta walaupun mereka sebenarnya tahu harta yang banyak itu tak boleh di bawa masuk ke dalam kubur untuk jadi bekalannya kat sana.

6) Meninggalkan Al-Quran tanpa di baca - ramai orang menjadikan Al-Quran sebagai hantaran perkahwinan tapi tak ramai yang mahu membacanya setiap malam untuk memberi cahaya pada rumahnya.

7) Tidak endah manusia melakukan maksiat hatta diri sendiri melakukan nya - melakukan maksiat baginya adalah hak peribadi sebab kubur tak sama. Mereka rasa menjaga hal sendiri lebih baik dari menjaga tepi kain orang lain.

8) Tidak merasa bersalah apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam - perkara normal bagi pasangan kekasih berpegangan tangan. “Kolot kalau tak buat. Bercinta memanglah macam nih”, katanya.

9) Tidak merasakan apa -apa pun bila mendengar orang membaca ayat suci Al-Quran - meeker rasa mendengar lagu terbaru yang dinyanyikan oleh artis popular atau pujaannya lebih touching dan menghiburkan.

10) Suruh orang buat baik, tapi diri sendiri tak lakukannya - bila ahli keluarga atau kenalan ada bersamanya, dia menunjukkan contoh yang baik, pijak semut pun tak mati. Tapi dia menjadi dirinya yang sebenar bila tiada bersama mereka.

11) Berasa senang atau gembira bila sesuatu perkara buruk berlaku atau tiada kemajuan terjadi pada orang lain - dia merasa seronok sebab perkara tersebut akan beri peluang yang baik / berguna padanya.

12) Hanya peduli halal dan haram sahaja. Perkara makruh dia tak ambil kisah.

13) Ketawakan orang yang buat kebaikan kecil seperti mencuci masjid - mencuci masjid sebenarnya kerja mudah yang boleh dapat pahala yang banyak. Tapi masih ramai yang tak ambil tahu pun.

14) Tidak peduli akan keadaan umat Islam - ada duit yang banyak untuk beli kereta Maserati tapi tak terbuka hati untuk buat sesuatu untuk membantu rakyat Palestin.

15) Tak rasa bertanggung jawab untuk ikut kemajuan agama Islam.

16) Suka berdebat walaupun tiada bukti - cuma nak tunjuk dia hebat dan nak sakiti hati orang lain dengan hujahnya yang tak ada bukti yang kukuh.

17) Menjadi lalai dan obses kepada diri sendiri - merasa dirinya berjaya atas usahanya sendiri SERTA kelebihan dan kebijaksanaan yang dia ada.



Sumber: E-mel (tidak diketahui)


Thursday, 1 January 2015

Assalamualaikum

Alhamdulillah, hari ini kita telah melangkau ke satu lembaran baru; tahun 2015.

Perjalanan masa melewati titik usia. Semalam hanyalah tinggal kenangan. Terlalu banyak perkara yang kita lalui dan tempuhi sepanjang tahun 2014.

Pelbagai kisah suka, duka, gembira dan sedih mengiringi perjalanan kehidupan seharian. Tahun 2014 merupakan tahun 'hebat' apabila kita disajikan dengan kisah menyayat hati.

Tidak kiralah sama ada ia berkaitan kemalangan (darat mahupun udara) sehinggalah bencana alam yang menimpa setiap pelusuk tempat di negara kita. Rakyat jelata tidak putus-putus ditimpa bencana dan musibah.

Semua ini memberi kita kesedaran bahawa kita hanya insan/manusia biasa. Tiada yang maha hebat lagi berkuasa kecuali Dia. Jika diamati betul-betul, di mana kedudukan kita ketika ini? Adakah dengan apa yang melanda tidak cukup untuk memberikan kita kesedaran?

Rata-rata yang ditemui hanya merungut dan menuding jari menyalahkan sesama sendiri... Hakikatnya, semua berpunca adalah lahir dari kita juga.. Dia mahu menunjukkan bahawa kita cuma makhluk kerdil dan tidak berdaya.. Dia mahu kita kembali kepadaNya.. Dia mahu kita zuhud dan berserah kepadaNya, memohon segala perlindungan dan pertolongan...

Mengapa kita masih lagi lalai?

Renung-renungkanlah... Dunia yang kita diami ini sudah 'tua' dan tidak lama.. Janganlah kita asyik dan leka dengan mengejar segala keseronokan dan rakus membina kemodenan sehingga mengabaikan Dia Yang Maha Pencipta.

Selamat Tahun Baru kepada anda semua. Moga tahun baru ini memberikan kita sinar kejayaan dan kebahagiaan yang diredhai olehNya.


 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.